MA63: Shafie yakin usul disokong ahli Parlimen

Shafie Apdal
Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin usul meminda perlembagaan dalam memastikan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan, akan disokong majoriti dua pertiga ahli Parlimen terutama pihak kerajaan agar hak Sabah sebagai rakan kongsi Semenanjung dapat diberikan.

Menurut beliau usul tersebut dijangka dibentang dalam sidang Dewan Rakyat kali ini bagi memastikan MA63 yang masih gagal dilaksanakan selama ini akhirnya dapat direalisasikan.

Katanya beberapa perkara khusus termasuk permintaan Sabah tentang pelaksanaan MA63 telah dibincangkan dalam mesyuarat tertutup bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu, namun perkara itu tidak boleh didedahkan ketika ini.

"Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Liew Vui Keong) telah pun maklumkan bahawa usul ini akan dibawa ke Parlimen jadi sudah tiba masanya untuk dilaksanakan MA63.

"Saya sendiri dan semua ahli Parlimen yakin akan menyokong pindaan itu kerana ini adalah perjanjian asal pembentukan Malaysia yang kita perlu laksanakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berada di Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-14 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau menegaskan perjanjian itu telah lama dimeterai tetapi tidak dilaksanakan, dan ini adalah masa terbaik untuk membuktikan kerajaan peka kepada permintaan rakyat semasa negara ditubuhkan.

"Suruhanjaya Cobbold yang mewakili suara orang Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu ketika itu telah dibentuk dan mencapai satu persetujuan iaitu MA63 maka jika kerajaan mahu menyentuh hati rakyat inilah masanya.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah perjanjian yang telah dimeterai sejak zaman Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan kita sebagai generasi baharu perlu melaksanakan apa yang telah dipersetujui," kata Mohd Shafie.- Bernama