Kerajaan pusat sentiasa sokong Sarawak diterajui GPS

Annuar Musa melawat ke rumah Rumah Panjang Baki Kampung Sebayang, ketika hadir bagi melancarkan satelit jalur lebar (VSAT WiFi) pada Program Kembara Connectivity Sarawak hari ini. - Foto Bernama
Annuar Musa melawat ke rumah Rumah Panjang Baki Kampung Sebayang, ketika hadir bagi melancarkan satelit jalur lebar (VSAT WiFi) pada Program Kembara Connectivity Sarawak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MANIS - Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, kedua-dua pihak mahu terus bekerja untuk rakyat Sarawak dan banyak pembangunan yang perlu dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Belanjawan 2022 yang telah dibentangkan di Parlimen, baru-baru ini.

“Kerajaan GPS dan kerajaan Persekutuan sekarang nak meneruskan kerja. Yang penting kerja untuk rakyat. Pilihan raya ini lima tahun sekali datang dan lepas pilihan raya, kerajaan kena buat banyak kerja,” katanya pada majlis pelancaran Perkhidmatan Jalur Lebar Satelit (VSAT Wi-Fi) di Rumah Baki, Kampung Sebayang dekat sini pada Sabtu.

Menurut Annuar, pembangunan pesat yang berlaku di Sarawak pada masa ini adalah hasil daripada kesetiaan rakyat negeri ini bersama-sama kerajaan yang diterajui oleh GPS.

Beliau berkata, pembangunan di Sarawak menimbulkan rasa cemburu beliau kerana negeri kelahirannya, Kelantan masih ketinggalan dan rakyat belum dapat mengecapi nikmat pembangunan sepenuhnya berikutan senario politik yang sentiasa berubah.

“Sebab itu saya ucap terima kasih kerana rakyat di Sarawak sentiasa bersatu padu, sentiasa bekerjasama memberikan sokongan kepada kerajaan dan hasilnya kita mendapat sebuah negeri yang semakin hari semakin maju, rakyat yang bersatu padu dan merasai kesenangan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan pembangunan di Sarawak bukan perkara mudah dan ia menelan kos yang amat besar.

Memberi contoh penyediaan kemudahan infrastruktur internet di luar bandar, beliau menjelaskan, untuk mendirikan sesebuah menara, memerlukan RM3 juta dengan perbelanjaan meliputi kos membina menara, sewaan tapak tanah dan sewaan peralatan.

Artikel Berkaitan:

Meskipun mahal, Annuar berkata, atas permintaan kerajaan GPS untuk mempercepatkan pembinaan menara-menara tersebut, kerajaan Persekutuan telah melaksanakannya yang menyaksikan lebih 600 tender pembinaan menara telekomunkasi baharu telah dikeluarkan dan ia akan ditambah pada masa akan datang.

“Kerana kita mahu semua rakyat Malaysia di bawah konsep Keluarga Malaysia yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak kira di mana sahaja mereka berada, berpeluang mendapat akses kemudahan internet ini,” katanya. - Bernama