Murid sekolah rendah jalani saringan Covid-19 setiap Rabu

Mohd Radzi Md Jidin
Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan Covid-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran kepada murid sekolah rendah setiap Rabu pada hari persekolahan.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM telah membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 ke sekolah rendah di bawahnya bagi memastikan ujian saringan tersebut dapat dilaksanakan sebagaimana tatacara pelaksanaan ujian kendiri yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

“KPM akan mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan saringan bergilir Covid-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap Rabu.

“Kami juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua sekolah rendah dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid diwajibkan jalani saringan Covid-19 mingguan mulai Isnin

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mewajibkan murid sekolah rendah untuk menjalani ujian saringan Covid-19 mingguan secara bergilir, bagi mengelakkan wujudnya kluster pendidikan.

Beliau berkata, ujian terbabit adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan.

Artikel Berkaitan: