Proton jangka jualan Persona, Iriz naik 30%

Proton N Iriz 2019 - Foto Bernama
A
A

PEMBUAT kereta negara Proton jangka jualan Iriz dan Persona meningkat sekurang-kurangnya 30 peratus dengan pelancaran model berwajah baharu bulan ini.

Ketika ini, jualan Iriz dan Persona, adalah antara 1,000 dan 2,000 unit sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd Dr Li Chunrong berkata Iriz dan Persona baharu, bersama-sama dengan kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X70, akan kekal sebagai penyumbang utama kepada sasaran syarikat untuk mencatat pulangan modal pada tahun ini dan menukarnya kepada keuntungan pada 2020.

"Kami mempunyai produk-produk baik dan sedang bekerja keras untuk mencapai sasaran ini,” katanya kepada pemberita pada majlis Pratonton Persona 2019 kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata syarikat juga terus menerima sokongan daripada rakan kongsinya dari China, Zhejiang Geely Holdings Group.

"Tujuh belas bulan selepas menjalin usaha sama dengan Geely, kini kami melancarkan Iriz dan Persona baharu dengan ciri-ciri dalaman dan luaran terkini, dan teknologi hubungan paling canggih dalam segmen ini," katanya.

Bagi Persona baharu, Li berkata model itu menerima 303 penambahbaikan daripada model terdahulu, termasuk pengubahsuaian enjin untuk pemanduan lebih lancar dan penggunaan bahan bakar lebih cekap.

Beliau berkata kereta itu dilengkapi unit utama pintar yang menggunakan kad eSIM dan menawarkan aplikasi bagi penstriman muzik, penggemudian menerusi pengecaman suara, sama seperti X70, SUV pertama Proton dan Iriz baharu.

Kereta itu juga mendapat penarafan lima bintang bagi aspek keselamatan di bawah Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Li berkata empat varian akan ditawarkan iaitu standard 1.6 litre transmisi manual, standard 1.6 litre transmisi boleh laras berterusan (CVT), executive 1.6 litre CVT dan Premium 1.6 litre CVT

Bersempena dengan pelancaran akan datang bagi kereta itu, Proton akan mengadakan "promosi flash” bagi Persona 2019, mulai esok sehingga 22 Mac, dan pembeli yang berminat boleh membuat tempahan secara dalam talian pada hanya RM9.99.

Model pertama Persona diperkenalkan pada 2007 dan sejak itu, sebanyak 322,623 unit terlah dijual di Malaysia, ASEAN, Timur Tengah dan Australia.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia