X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Ketua Setiausaha Negara dilantik Pro-Canselor UKM

Mohd Zuki Ali
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 7 Oktober lepas hingga 6 Oktober 2024.

UKM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pelantikan Mohd Zuki itu adalah bagi menggantikan Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia 28 Ogos lepas.

Pengisytiharan pelantikan itu disempurnakan oleh Canselor UKM, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir sempena konvokesyen ke-49 universiti itu pada Sabtu.

Mohd Zuki, alumni Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM pada 1985, adalah alumni pertama yang dilantik sebagai Pro-Canselor di universiti itu.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman percaya pelantikan itu mampu menyumbang dan membawa UKM untuk mencapai kemajuan akademik dan pengurusan organisasi yang lebih cemerlang.

“Dengan kepimpinan dan kewibawaan Tan Sri Mohd Zuki menerajui perkhidmatan awam, lantikan ini amat bertepatan dengan hasrat dan visi UKM untuk terus menggarap lebih banyak kecemerlangan di persada nasional dan antarabangsa.

“Saya berharap pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi dan memberi laluan kepada para alumni yang lain untuk kembali berbakti kepada universiti,” katanya.

Mohd Zuki, anak jati Kuala Terengganu, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura dan Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat pada 1999.

Sepanjang 29 tahun sebagai penjawat awam, beliau telah berkhidmat di pelbagai kementerian dan jabatan dengan menggalas beberapa jawatan penting antaranya sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan serta sebagai Pegawai Khas Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perdana Menteri; Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang; Setiausaha Persekutuan Sarawak; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Menurut kenyataan itu, Majlis Konvokesyen UKM ke-49 turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Jaringan Pendidikan Kesihatan dan Kelestarian) kepada pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Bekas Pengarah Bahagian Keselamatan Nuklear, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan pula dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains Nuklear). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!