X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

KPDNHEP Terengganu keluar surat pemberitahuan kepada 41 peniaga

Anggota dan pegawai penguat kuasa KPDNHEP memantau harga di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu pada Jumaat. - Foto ihsan KPDNHEP
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengeluarkan surat pemberitahuan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (AKHAP) 2011 kepada 41 peniaga ayam, telur ayam dan sayur- sayuran di peringkat borong dan runcit di negeri tersebut untuk menurunkan harga di paras biasa.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, daripada 41 surat pemberitahuan diberikan itu, seramai empat pemborong didapati enggan menurunkan harga sehingga memaksa pihak kami membuka kertas siasatan untuk tindakan undang-undang.

"Rata-rata mereka memaklumkan kenaikan harga telur ayam ketika ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga makanan ayam dan kos ditanggung oleh pengeluar telur.

"Selain itu, kenaikan harga sayuran pula adalah disebabkan keadaan cuaca penghujung tahun iaitu musim tengkujuh yang memberi kesan kepada kekurangan bekalan akibat kerosakan hasil pertanian," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Bagaimanapun beliau berkata, kenaikan harga sayuran adalah bersifat sementara dan dijangka mengalami penurunan semula selepas keadaan cuaca bertambah baik.

"Pengguna disarankan berbelanja secara bijak dengan memilih premis menawarkan barangan pada harga berpatutan di samping merujuk kepada aplikasi Price Catcher yang disediakan pihak KPDNHEP untuk membuat perbandingan harga mengikut lokasi pilihan atau tempat tinggal masing-masing.

"Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store secara percuma," katanya.

Tambahnya, seramai 116 anggota dan pegawai penguat kuasa digerakkan setiap hari bagi membuat pemeriksaan harga dan bekalan di seluruh negeri berserta 59 Pegawai Pemantau Harga (PPH) untuk memantau harga barangan keperluan.

"Premis yang dipantau dan diperiksa meliputi pasar awam atau basah, pasar tani, pasar raya, hypermarket dan kedai runcit.

"Data-data harga kemudiannya dikumpul sebelum dicerakin menjadi laporan dan pelan tindakan yang diperlukan seperti mencari punca kenaikan, pelaksanaan harga kawalan dan sebagainya," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!