Maszlee Malik umum sertai PKR

Maszlee (dua dari kiri) menerima kad keahlian PKR disampaikan Anwar (dua dari kanan) di Dewan Kampung Baru Machap pada Sabtu.
Maszlee (dua dari kiri) menerima kad keahlian PKR disampaikan Anwar (dua dari kanan) di Dewan Kampung Baru Machap pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik sah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu.

Bekas Menteri Pendidikan itu mengumumkan perkara itu pada program Jelajah Presiden yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Kampung Baru Machap.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan penyertaan dalam PKR ibarat sirih pulang ke gagang kerana pernah didaftarkan sebagai ahli parti itu bagi Cabang Ampang pada tahun 2017.

“Saya terpanggil melakukan sesuatu untuk membawa perubahan ketika keadilan berada dalam situasi dan populariti yang tidak begitu menggalakkan pada waktu ini terutama selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

“Ada yang mengejek mengapa masuk parti kalah malah presidennya diserang daripada pelbagai sudut oleh lawan dan segelintir kawan. Lebih malang ada yang sindir apa ertinya sertai Keadilan ketika mereka sedang lemah dan tidak menjadi pilihan.

“Saya katakan inilah harga sebuah perjuangan (kerana) saya tidak masuk parti untuk mengaut laba keuntungan dan tidak mahu menjadi oportunis politik yang tukar parti untuk dapat jawatan atau ganjaran,” katanya.

Maszlee sebelum ini merupakan seorang ahli akademik yang menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Parlimen Simpang Renggam.

Beliau pernah menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun meletak jawatan susulan beberapa kontroversi.

ARTIKEL BERKAITAN: Maszlee dijangka umum sertai PKR esok

Artikel Berkaitan:

Maszlee dipecat daripada Bersatu pada Mei tahun lalu susulan konflik dalaman yang tercetus akibat keputusan parti itu untuk keluar daripada PH.

Beliau kemudian memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas pada November tahun lalu selepas beberapa bulan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH.

Pada majlis itu seramai beliau turut menyerahkan 500 borang keahlian baharu PKR.