Royalti minyak Kelantan sedang dipertimbangkan: Mustapa

Mustapa (kanan) melihat sebahagian buah kelapa sebelum diproses sewaktu melawat tempat pemprosesan santan di Kampung Kelong Hujung pada Sabtu. - Foto Bernama
Mustapa (kanan) melihat sebahagian buah kelapa sebelum diproses sewaktu melawat tempat pemprosesan santan di Kampung Kelong Hujung pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju dengan permohonan kerajaan negeri Kelantan untuk membincangkan tiga perkara iaitu hal-hal mengenai minyak, pembangunan negeri dan bekalan air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara tersebut diputuskan selepas pertemuan antara Perdana Menteri bersama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad, yang diadakan minggu lepas.

“Semasa pertemuan tersebut, Menteri Besar ada menyerahkan satu surat dan kini telah diselaraskan serta kita sedang berbincang di peringkat Persekutuan. Ada tiga perkara dibangkitkan dalam surat tersebut iaitu hal-hal minyak, pembangunan dan bekalan air negeri.

“Perdana Menteri sudah mengarahkan segera diadakan pertemuan dalam kalangan kita dan dalam proses tiga perkara yang disebut (dalam surat) sekarang dalam pertimbangan kerajaan pusat,” katanya selepas lawatan kerja ke Kampung Kelong Hujung di sini pada Sabtu.

Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat Khamis lalu, Tengku Zafrul berkata, ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Sementara itu di KOTA BHARU, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya akan meminta penjelasan lanjut secara bertulis mengenai perkara tersebut daripada Tengku Zafrul, kerana kenyataan beliau itu seolah-olah sudah tiada royalti atau bayaran tunai petroleum dan dilihat tidak selari dengan kenyataan kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Untuk rekod, kerajaan Persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 memutuskan bahawa Program Wang Ehsan dimansuhkan dan bayaran tunai petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

“Bayaran tunai dan hasil pengeluaran bagi negeri Kelantan telah diperakui kerajaan Persekutuan dalam persidangan Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019 dan 28 Julai 2020 oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),” katanya selepas Pelancaran Sambutan Bulan Keluarga Malaysia peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim pada Sabtu. - Bernama