Seorang daripada lima dewasa di Malaysia hidap diabetes

Dr Kirubakaran (lima dari kanan) ketika pelancaran Hari Deabesiti 2021 di Hospital Gleneagles Pulau Pinang pada Sabtu.
Dr Kirubakaran (lima dari kanan) ketika pelancaran Hari Deabesiti 2021 di Hospital Gleneagles Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Mereka yang berisiko mendapat diabetes harus tampil ke hadapan dan membuat saringan untuk mengetahui tahap kesihatan diri.

Sempena Bulan Kesedaran Diabetes Sedunia, Hospital Gleneagles Pulau Pinang menganjurkan acara 'Hari Diabesiti', gabungan Diabetes dan Obesiti, untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai risiko penyakit berkenaan.

Perunding Am, Pakar Endokrinologi, Payudara dan Bedah Bariatrik, Dr Kirubakaran Malapan berkata, penganjuran program berkenaan untuk menyebar luas kesedaran ramai tentang kepentingan memantau jumlah glukosa bagi menentukan aras gula dalam darah.

Menurutnya, hampir seorang dalam lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes.

"Ramai orang tidak menyedari bahawa mereka adalah diabetes atau pra-diabetik kerana tanda amaran gula darah meningkat secara tidak normal boleh muncul bertahun-tahun sebelum diagnosis," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Hari Deabesity 2021di Hospital Gleaneagles Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.

Dr Kirubakaran berkata, dalam dua tahun kebelakangan ini, ramai penghidap diabetes takut untuk mendapatkan rawatan, penjagaan dan perubatan yang biasa mereka lakukan di hospital ini berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara pada masa kini.

Kata beliau, rasa takut untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan di hospital bukan sesuatu yang baharu dan perkara itu perlu ditangani supaya semua orang berhak untuk menerima penjagaan dan rawatan yang sewajarnya.

Beliau berkata, sebagai institusi penjagaan kesihatan, menjadi misi pihaknya untuk memberikan perkhidmatan dan rawatan kesihatan terbaik dengan kepakaran klinikal disediakan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Hospital Gleaneagles Pulau Pinang, Yong Zi Ling berkata, bersempena dengan Hari Diabesiti 2021 pihaknya berhasrat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kelaziman diabetes dan obesiti.

Katanya, apa yang lebih penting, masyarakat perlu peka dengan kesihatan diri dan pihaknya sentiasa memberikan harapan dan sokongan untuk menempuh perjalanan bersama-sama.

"Sempena Hari Diabesiti 2021, Hospital Gleneagles Pulau Pinang memberi ujian saringan diabetes untuk 100 pengunjung pertama yang akan menerima ujian glukosa pantas secara percuma, ujian komposisi badan (Ujian BCA) dan ujian indeks brachial buku lali (Ujian ABI) bernilai RM250 setiap satu.

"Selain itu, turut disediakan gerai informasi bersama pakar diabetes kami, kuiz infohunt diabetes dengan pelbagai hadiah hebat untuk dimenangi sehingga 8 Disember 2021," katanya.

Hari Diabetes Sedunia ialah kempen kesedaran global tahunan yang dimulakan pada tahun 1991 oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai tindak balas ke atas kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ancaman diabetes.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara dan aktiviti Hospital Gleneagles Pulau Pinang, sila layari www.gleneagles-penang.com.