KPM tunggu laporan lengkap isu guru belum divaksin diasingkan

Mah Hang Soon
Mah Hang Soon
A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan Perak berhubung dakwaan seorang guru yang diasingkan dalam stor oleh pengurusan sekolah kerana tiada vaksin Covid-19.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap perkara itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

Menurutnya, KPM akan meneliti perkara itu dan pada masa sama tidak mengabaikan kebajikan semua pihak termasuk guru terbabit.

"Kita sudah dengar laporan di media, namun saya rasa perlu terima atau lihat laporan selepas siasatan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan sebagainya.

"Pada saya paling elok adalah jangan pula kita uar-uarkan perkara ini. Kita perlu menjaga kebajikan semua pihak khususnya murid serta guru-guru," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Perak, di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: JPN Perak siasat dakwaan guru belum vaksin diasingkan dalam stor

Hang Soon berkata, pihaknya turut menunggu arahan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana setakat ini belum ada jenis tindakan yang ditetapkan terhadap guru yang enggan divaksin.

"Kita belum kenal pasti apa sebab tidak terima vaksin. Kita juga masih menunggu arahan daripada JPA dalam hal ini apa tindakan yang boleh diambil dan sebagainya. Ia bukan satu perkara yang mudah.

"Semasa kita mahu jaga kebajikan guru (belum divaksin), jangan pula kita lupa kebajikan guru-guru lain yang telah lengkap divaksin khususnya murid-murid. Mereka ini sentiasa menjadi keutamaan kepada KPM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam video tular pada Selasa itu, individu yang mendakwa sebagai guru sebuah sekolah menengah di Perak meluahkan rasa kesal atas layanan yang diberi pihak sekolah terhadapnya selepas diasingkan kerana belum menerima suntikan vaksin.

Lelaki itu memaklumkan pada mulanya dia ditempatkan di stor pendidikan jasmani, namun ditukarkan ke stor tukang cuci atas alasan ia merupakan kawasan laluan dan mempunyai banyak peralatan sukan.