MOSTI kaji teknologi kurangkan kos pertanian

Ahmad Amzad (tengah) ketika hadir ke Majlis Sambutan Hari Guru peringkat daerah Kuala Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) pada Sabtu.
Ahmad Amzad (tengah) ketika hadir ke Majlis Sambutan Hari Guru peringkat daerah Kuala Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menjalankan kajian bagi mengurangkan kos tanaman dan pertanian melalui penyelidikan terhadap inovasi baja tempatan dan racun makhluk perosak supaya kenaikan harga makanan tidak menjadi beban.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, antara kajian itu ialah penggunaan baja tanaman menggunakan teknologi nano yang mempunyai kelebihan.

Menurutnya, ia sebahagian usaha MOSTI membantu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi di bawahnya meningkatkan hasil produk tani dan mengurangkan kos dengan lebih efektif.

“Kita mengenal pasti antara masalah kenaikan harga makanan ialah bekalan baja dan racun makhluk perosak.

“Semalam kita bincang mengenai penggunaan baja teknologi nano. Walaupun harganya agak tinggi tapi kadar penggunaan sangat rendah. Semburan tidak perlu dilakukan banyak kali kerana ia (nutrien) akan diserap perlahan-lahan.

"Selain itu, penggunaan teknologi melalui Agensi Angkasa Malaysia untuk merancang kerja-kerja pembajaan dan penyemburan racun dengan cara lebih efektif menggunakan teknologi 'remote sensing',” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru peringkat daerah Kuala Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Salim Ab Ghani.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut memberitahu, pihaknya sedia membantu mengukuhkan sekuriti makanan negara seiring dengan peranan MOSTI menerajui teknologi dan inovasi terkini untuk meningkatkan daya saing global negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebelum ini MOSTI melalui hasil penyelidikan Agensi Nuklear Malaysia berjaya menghasilkan varian benih padi IS21 yang mampu meningkatkan hasil tuaian sebanyak sembilan tan untuk satu hektar sawah berbanding tiga tan sebelum ini.

Katanya, varian benih padi baharu itu juga lebih tahan penyakit, kurang penggunaan air dan mampu bertahan jika banjir.

"Banyak lagi produk pertanian yang dalam kajian pelbagai agensi di bawah MOSTI antaranya cendawan dan kenaf. Dengan penggunaan teknologi nuklear, kita boleh hasilkan kenaf dengan saiz lebih besar yang mempunyai lebih banyak serat," katanya.