ERL sasar 8,000 penumpang melalui ‘ERL RM1 Joyride Weekend’

Noormah bersama Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof ketika melakukan gimik perasmian RM1 Joyride Hujung Minggu bersama Express Rail Link (ERL) pada Sabtu. - Foto Bernama
Noormah bersama Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof ketika melakukan gimik perasmian RM1 Joyride Hujung Minggu bersama Express Rail Link (ERL) pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), operator perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit menyasarkan 8,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan tren tersebut sepanjang promosi ‘ERL RM1 Joyride Weekend’ pada Sabtu dan Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata, usaha itu bertujuan menggalakkan dan memulihkan keyakinan orang ramai untuk kembali menggunakan pengangkutan awam selepas wabak Covid-19 memberikan kesan kepada perkhidmatan itu sejak tahun lepas.

“Pihak ERL pada masa sama akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan tiada pengumpulan orang yang ramai sepanjang tempoh promosi dua hari ini berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran promosi itu di KL Sentral pada Sabtu.

Menerusi promosi tersebut, orang ramai berpeluang ‘makan angin’ menaiki perkhidmatan tren ERL pada hari ini dan esok dengan hanya RM1 untuk tiket sehala ke mana-mana stesen ERL.

Beberapa stesen ERL turut menganjurkan aktiviti menarik seperti Stesen Sentral KL yang menawarkan pemberian percuma daripada foodpanda dan bertemu pemain cosplay, manakala Stesen KLIA 2 pula menawarkan jualan murah Gateway@klia2 Giler Sale serta jualan akhir tahun Mitsui Outlet Park.

Sementara itu, seorang penumpang Hazley Halim, 44, berkata, beliau menyambut baik usaha ERL itu dan mengambil peluang membawa keluarganya bersiar-siar menaiki tren dari KL Sentral ke KLIA2.

“Lazimnya saya guna tren ERL untuk ke luar negara atas urusan perniagaan, tetapi hari ini saya ambil kesempatan makan angin dengan keluarga, walaupun hampir dua tahun perkhidmatan ini tidak digunakan secara maksimum, namun saya lihat keadaan fasilitinya masih sempurna,” katanya yang menetap di Petaling Jaya. - Bernama

Artikel Berkaitan: