MOTAC tambah baik program Pengalaman Homestay

Nancy (dua, kiri) menyampaikan sijil pendaftaran peserta program pengalaman homestay Malaysia kepada Pengusaha Homestay Sadong Jaya, Suraya Lariwoo (dua, kanan) pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Program Pengalaman Homestay Malaysia dan Platform jomhomestay.my, pada Sabtu.- Foto Bernama
Nancy (dua, kiri) menyampaikan sijil pendaftaran peserta program pengalaman homestay Malaysia kepada Pengusaha Homestay Sadong Jaya, Suraya Lariwoo (dua, kanan) pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Program Pengalaman Homestay Malaysia dan Platform jomhomestay.my, pada Sabtu.- Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menambah baik garis panduan program Pengalaman Homestay Malaysia selaras permintaan terkini bagi menggalakkan lebih ramai komuniti luar bandar untuk turut serta sebagai pengusaha inap desa.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penambahbaikan tersebut antaranya adalah meletakkan had radius pendaftaran secara kluster atau individu sebagai pengusaha diperluas dalam lingkungan 10 kilometer di Semenanjung Malaysia dan 50 kilometer bagi Sabah dan Sarawak dari pusat aktiviti.

Beliau berkata, had minimum pendaftaran kluster juga telah dikurangkan daripada 10 orang kepada lima orang bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Selain itu, kita mahu memperluas penyertaan kepada individu yang berminat untuk bergabung bersama komuniti inap desa yang berdaftar dan mewujudkan kategori bagi inap desa serta kampungstay seperti Annex Kampungstay, Guest Kampungstay, Farm atau Agro Kampungstay dan Inovatif Kampungstay.

"Kita juga mahu menekankan tanggungjawab dan tadbir urus pengurusan kluster inap desa selain menggalakkan mereka menubuhkan koperasi serta berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia," katanya berucap pada majlis pelancaran Garis Panduan Program Pengalaman Homestay Malaysia dan platform jomhomestay.my di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, ini merupakan peluang keemasan kepada pengusaha inap desa bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka dengan menawarkan perkhidmatan lebih baik serta melakukan promosi bagi menarik kumpulan sasaran itu.

“Kita hendak menarik pelancong bernilai tinggi untuk berbelanja sebanyak mana yang mereka mahu agar dapat merancakkan lagi industri ini,” katanya.

Selain itu, Nancy berkata, walaupun banyak sempadan antarabangsa akan dibuka, namun rakyat Malaysia masih mengambil langkah berhati-hati dan tetap akan memilih untuk bercuti di dalam negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: