'Kahwinlah UMNO, Pas, jangan sejenis sudah': Mahathir

A
A

'Kahwinlah UMNO, Pas, jangan sejenis sudah': Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terbuka menerima kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas.

Katanya, negara tidak menghalang mana-mana parti untuk menjalin penyatuan.

Bagaimanapun katanya, kalau Pas dan UMNO sama-sama lelaki ianya tidak boleh berkahwin.

5 Mac lalu, temeterai kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas manakala, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyatakan cadangan mewujudkan kerajaan campuran di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis sudah dikemukakan kepada Pas, namun perkara ini masih pada peringkat cadangan sebelum perbincangan lanjut dibuat.

Katanya, pada peringkat UMNO jawatankuasa kerja sudah dibentuk dengan dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa yang dibentuk Pas kelak.

Hina Islam, Nabi: Mualaf dipenjara tujuh bulan, denda RM10,000

Seorang penganggur dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW dengan memuat naik kenyataan hinaan itu di laman Facebooknya, Februari lalu.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, seorang mualaf, setelah tertuduh mengekalkan pengakuan bersalahnya hari ini yang ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Pada Jumaat lepas, Mohamad Yazid Kong mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati melalui aplikasi Facebook dengan profil nama 'Yazid Kong', pada 8.21 malam, 24 Feb 2019.

Mengikut fakta kes tertuduh telah memuat naik kenyataan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW di laman Facebooknya yang diakses melalui telefon bimbit.

Rakyat perlu yakin usaha kerajaan kurangkan kos sara hidup: Agong

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah rakyat perlu terus yakin dengan pelbagai langkah yang diambil kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup.

Baginda bertitah, biarpun kesannya mungkin tidak segera dirasai, rakyat harus yakin dengan pelbagai tindakan yang diambil demi meningkatkan kesejahteraan mereka.

Kata baginda, rakyat juga perlu realistik dalam meletakkan harapan kepada Kerajaan dan terus berusaha untuk memajukan diri ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan sedar peningkatan kos sara hidup adalah antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Justeru, titah baginda, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk dilaksanakan di seluruh negara bagi membantu rakyat termasuk menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

Kes bunuh Jong-nam: Mahkamah lepas tanpa bebaskan Siti Aisyah

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, melepas tanpa membebaskan warga Indonesia, Siti Aisyah, daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menerima arahan untuk tidak meneruskan kes terhadap Siti Aisyah, 26.

Sebaik sahaja prosiding selesai, Siti Aisyah dibawa terus ke kereta yang sudah menunggu dekat lobi mahkamah sambil diiringi pegawai daripada Kedutaan Indonesia dan polis.

Siti Aisyah dan seorang warga Vietnam, Thi Huong, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 9 pagi 13 Februari 2017.

China gantung operasi pesawat Boeing 737-8

Pentadbiran Penerbangan Awam China hari ini mengarahkan syarikat penerbangan awam negara itu menggantung operasi semua pesawat Boeing 737-8.

Arahan itu dikeluarkan selepas nahas pesawat 737 MAX 8 milik Ethiopia Airlines yang terhempas di Addis Abab dan mengorbankan semua 157 penumpang.

Pesawat Ethiopia Airlines itu adalah pesawat yang sama yang terhempas di Laut Jawa tidak lama selepas berlepas dari Jakarta, Indonesia pada 29 Oktober tahun lalu menyebabkan semua 189 penumpang Lion Air terbunuh.

Katanya, langkah itu adalah sejajar dengan prinsip toleransi sifar terhadap ancaman keselamatan yang menjadi amalan badan pengawal selia itu.