Wanita koma dibelasah suami bakal lahirkan bayi secara pembedahan

Jahidah sebelum dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban dijaga oleh Fauziah (berdiri).
Jahidah sebelum dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban dijaga oleh Fauziah (berdiri).
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita yang sebelum ini koma selepas dipukul suaminya pada bulan Mei lalu, dijangka melahirkan bayi dalam kandungannya secara pembedahan pada 1 Disember ini.

Wanita berkenaan, Jahidah Nordin, 43, telah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Tuanku Ja'afar Seremban sejak 22 November lalu.

Menurut adiknya, Fauziah, 40, selepas kakaknya dimasukkan ke wad, dia dan keluarga yang lain tidak dibenarkan melawat kerana prosedur.

"Kami dimaklumkan oleh doktor kakak berhadapan pelbagai komplikasi dan pembedahan nanti akan turut diawasi oleh Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Keadaan tersebut disebabkan keadaan kakak yang tidak boleh memberi tindak balas dan 'base line' (otaknya) memang sudah rosak, ada pendarahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Kata Fauziah, kakaknya akan dibius penuh ketika pembedahan nanti, namun doktor memaklumkan peluang untuk kakak sedar semula agak berisiko tinggi kerana keadaan otaknya itu.

"Saya berharap dan berdoa proses pembedahan itu nanti berjalan dengan baik dan kakak serta bayi lelaki yang bakal dilahirkan selamat serta sihat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kandungan wanita koma dipukul suami berkembang sihat

Wanita hamil dipukul suami mula sedarkan diri

Kisah wanita tersebut yang merupakan seorang penjawat awam di Johor Bahru, mendapat perhatian media selepas dia koma kerana cedera parah dipercayai akibat dipukul suaminya di rumah mereka pada 4 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menerusi perkongsian Fauziah di media sosial Tiktok @ziahzara15 pada Jumaat, dia meluahkan rasa sebak ketika membersihkan bilik kakaknya dan tidak pasti sama ada wanita tersebut akan balik ke rumah.

"Walaupun sebak hati bersihkan bilik kakak, tak pasti kakak akan balik atau tidak seperti sebelum ini, sedia terima semua risiko kemungkinan pada kakak, tak mustahil kakak akan balik ke bilik dengan bayi," luahnya.