X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Syarikat penerbangan diarah turunkan harga tambang domestik

Syarikat penerbangan tempatan digesa menurunkan harga tambang domestik berikutan maklum balas orang ramai mengenai harga tambang terlalu tinggi menjelang musim cuti penghujung tahun ini dan awal 2022. (Gambar kecil: Ka Siong)
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan mengarahkan syarikat penerbangan tempatan menurunkan harga tambang domestik berikutan maklum balas orang ramai mengenai harga tambang yang terlalu tinggi menjelang musim cuti penghujung tahun ini dan awal 2022.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ramai melahirkan rasa marah susulan tambang penerbangan ke Sarawak yang luar biasa tinggi.

Menurutnya, MOT telah memanggil syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo untuk bermesyuarat dengan menekankan keperluan untuk mengurangkan tambang penerbangan.

“Ini bagi membolehkan lebih ramai penumpang dapat menikmati tambang penerbangan yang lebih rendah bagi tempoh akhir tahun ini.

“Sejurus pertemuan ini, Malaysia Airlines telah berjanji untuk menambah penerbangan tambahan ke Sarawak pada Disember, sekali gus berupaya mengurangkan kadar tambang ke negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga bersedia meluluskan lebih banyak kekerapan penerbangan.

Jelas beliau, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Sarawak telah memutuskan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan daripada 223 kepada 307 penerbangan seminggu ke Sarawak kepada Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia, Malindo dan Scoot (Singapura) bermula 4 Disember 2021 hingga 5 Januari 2022.

“Kami berharap kerajaan negeri akan segera mengembalikan jumlah kekerapan tersebut kepada 502, sama seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

“Kerajaan mengingatkan semua pemain industri supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tambang bagi menampung kerugian yang dialami sebelum ini.

“Saya juga menggesa semua pihak mengambil tindakan segera menurunkan harga tambang penerbangan tanpa perlu campur tangan kerajaan Persekutuan dan agensinya secara berlebihan dalam pengoperasian tersebut,” jelas beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!