Najib lapor polis dakwa ada cubaan sembunyi bukti kes SRC, 1MDB

Najib ketika bercakap kepada media di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Najib ketika bercakap kepada media di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat laporan polis mendakwa ada pihak menyembunyikan bahan bukti membabitkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, bukti tersebut boleh digunakan oleh barisan pembelaannya dalam hujah balas membabitkan perbicaraan kedua-dua kes yang membabitkan diri beliau.

"Rakyat Malaysia terkejut dengan pengesahan yang dibuat dalam kenyataan SPRM minggu lalu menyatakan wang bernilai RM65 juta disyaki dana dikaitkan dengan Jho Low dan 1MDB ditemui dalam akaun bank milik keluarga terdekat bekas Gabenor Bank Negara.

"Saya mohon pihak polis untuk menyiasat jika ada sebarang percubaan oleh individu penting dalam Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang dengan sengaja menyembunyikan bahan bukti daripada saya serta seluruh rakyat Malaysia.

"Saya berasa amat kecewa kerana tiada agensi penyiasatan yang mendedahkan berkenaan hubungan keluarga bekas Gabenor Bank Negara dengan Jho Low atau penglibatan mereka ketika saya menjadi Perdana Menteri," katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa salah seorang saksi utama dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd turut menerima dana lebih daripada RM85 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

"Sekali lagi pasukan pembelaan saya tidak diberitahu tentang maklumat ini walhal individu tersebut merupakan salah seorang individu penting dalam kes SRC," katanya.

Tambah beliau, lebih mengecewakan apabila bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sendiri mengaku mengetahui berkenaan perkara itu semasa beliau menjawat jawatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ditambah dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi yang menyatakan bahawa pihak polis mengetahui berkenaan perkara itu sekurang-kurangnya sejak tahun 2019.

"Perkara ini sudah disiasat sejak di bawah pemerintahan Pakatan Harapan tetapi sehingga ke hari ini hampir ke hujung tahun 2021 masih dalam siasatan," katanya.