X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Sultan Selangor kurnia darjah, pingat kepada 57 individu

A
A

KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 57 orang penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-75 di Istana Alam Shah di sini pada Sabtu.

Berangkat sama ke istiadat itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ahli Dewan Diraja Selangor, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda mendahului senarai penerima dengan dikurniakan Darjah Kerabat Kedua (D.K II).

Selain itu, Sultan Sharafuddin juga mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk Setia’ pula dikurniakan kepada bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Pada 10 Disember 2020, Sultan Sharafuddin menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Selangor @Selangor Royal Office bertitah dan memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang istiadat sempena Hari Keputeraan baginda dan akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan semasa Covid-19.

Sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-75 pada 11 Disember tahun lepas, Sultan Sharafuddin berkenan untuk mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 181 penerima termasuk mengurniakan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Darjah kebesaran yang dikurniakan Sultan Sharafuddin kepada Al-Sultan Abdullah telah dipersembahkan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 8 April lepas. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!