Tiada laporan pekerja dipukul polis

 Ayob Khan - Foto Bernama
Ayob Khan - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor tidak menerima sebarang laporan mengenai dakwaan seorang bekas pekerja ATA IMS Bhd dipukul semasa disosial siasat di sebuah balai polis pada Jun lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pekerja terbabit mendakwa dipukul semasa disoal siasat kerana berkongsi maklumat mengenai keadaan kilang terbabit seperti yang dilaporkan menerusi artikel berita Reuters pada Khamis lepas.

“Polis Johor mengesahkan sehingga hari ini tiada sebarang laporan polis diterima berkenaan seorang bekas pekerja ATA IMS Bhd yang didakwa dipukul ketika disoal siasat.

“Bagaimanapun, kita ambil maklum tentang isu ini dan akan menjalankan siasatan sekiranya wujud seperti apa yang dilaporkan (dalam Reuters),” katanya menerusi kenyataan, di sini pada Sabtu.

Pada 25 November, Reuters melaporkan Dyson Operations Pte Ltd dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd telah menamatkan kontrak dengan syarikat penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), ATA IMS berikutan audit terhadap amalan buruh yang diterima.

Reuters menerusi artikel berita itu turut memaklumkan bahawa seorang bekas pekerja ATA IMS yang ditemubual, mendakwa telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat kerana berkongsi maklumat tentang keadaan kilang itu kepada aktivis sebelum dipukul oleh pihak polis.

Menurut ATA IMS dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 25 November lepas, Lembaga Pengarahnya mengambil perhatian mengenai artikel berita itu dan rujukan telah dibuat membabitkan penamatan tiga kontrak dengan anak syarikat milik penuhnya, ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATAIM) yang berkuat kuasa 1 Jun 2022 serta audit amalan buruh syarikat. - Bernama

Artikel Berkaitan: