X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Fantasia Aquapark sasar 15,000 pengunjung sebulan

Taman tema air Fantasia Aquapark di Jitra kembali beroperasi pada 2 Disember ini menawarkan harga promosi serendah RM18 bagi kategori dewasa untuk pembukaan semulanya selepas PKP.
A
A

JITRA - Taman tema air Fantasia Aquapark di sini yang akan kembali beroperasi pada 2 Disember dijangka mencapai kehadiran sehingga 15,000 pengunjung sebulan selepas penambahan beberapa tarikan baharu.

Pengarah Urusan SAB Global (M) Sdn Bhd, Nar Azaman Ibrahim berkata, pihaknya juga menawarkan harga promosi RM18 bagi kategori dewasa, RM12 bagi kategori orang kurang upaya dan warga emas dan kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah pula adalah percuma.

Menurutnya, harga promosi pembukaan semula tersebut bertujuan meraikan semula kehadiran pengunjung yang tidak sabar kembali ke taman tema air tersebut selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tiada tarikh tamat bagi harga promosi pembukaan semula taman tema kerana mahu meraikan kehadiran semula pengunjung.

"Kami meletakkan sasaran sebanyak 15,000 pengunjung akan datang ke sini setiap bulan selepas ini. Menariknya terdapat banyak penambahbaikan termasuk Rumah Gergasi Musang King yang dalam proses pemasangan dan akan siap sebelum pembukaan 2 Disember ini," katanya pada sidang media di Taman tema air Fantasia Aquapark, dekat sini pada Jumaat.

Hadir sama, Penasihat SAB Global (M) Sdn Bhd, Datuk Shahril Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif SAB Global (M) Sdn Bhd, Datuk V Harikrisnan.

Nar Azaman memberitahu, antara tarikan baharu lain ialah pusat refleksologi yang dikendalikan oleh orang kurang upaya dengan harga berpatutan serta aktiviti seperti karikatur, melukis batik dan zumba yang akan diadakan secara berperingkat.

Nar Azaman (dua dari kanan) dan Shahril (dua dari kiri) bergambar bersama maskot Fantasia Aquapark iaitu Bee bee, Rara, Rem dan Eemut.
Nar Azaman (dua dari kanan) dan Shahril (dua dari kiri) bergambar bersama maskot Fantasia Aquapark iaitu Bee bee, Rara, Rem dan Eemut.

Sementara itu, Harikrisnan berkata, pihak pengurusan juga telah melakukan pelbagai kerja pembersihan dan penambahbaikan struktur tempat sepanjang penutupan operasi untuk keselesaan pengunjung.

Menurutnya, taman tema tersebut meliputi lima tarikan utama iaitu Children Splash Pad, Twin Water Slide, Lazy River, Water Cave, kolam utama dan hanya 50 peratus kapasiti pengunjung yang dibenarkan pada suatu masa bagi memastikan penjarakan sosial.

"Prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menetapkan kapasiti seramai 750 pengunjung sahaja boleh berada di taman tema air pada satu masa berbanding kapasiti penuh yang boleh memuatkan sehingga 1,500 pengunjung di sini.

"Semua pekerja seramai 27 orang sudah pun lengkap vaksinasi selain turut menyertai kursus pertolongan cemas selama dua hari bersama jurulatih yang diiktiraf bagi memberi pertolongan cemas awal kepada pengunjung yang mengalami kemalangan dalam kawasan tanggungjawab kami," katanya.

Tambahnya, pengurusan juga akan mewujudkan fasa kedua iaitu melanjutkan masa operasi sehingga 11 malam dengan menjalankan perniagaan kafe dan restoran waktu malam yang bermula seawal jam 6 petang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!