3.7 juta kenderaan tidak memperbaharui LKM

Sebanyak 3,210 kenderaan diperiksa dalam Operasi Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi pada Jumaat.
Sebanyak 3,210 kenderaan diperiksa dalam Operasi Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Sebanyak 3.7 juta kenderaan didapati masih tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) di seluruh negara mengikut statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga 15 November lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ Malaysia (Perancangan dan Operasi), Aedy Fadly Ramli menggesa orang ramai supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk memperbaharui LKM tersebut.

Menurutnya, selain berurusan secara dalam talian, semua cawangan JPJ dan kaunter JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan beroperasi sehingga jam 5 petang termasuk pada hujung minggu bermula Sabtu sehingga 31 Disember untuk mengelakkan kesesakan.

"Buat masa sekarang, kita beri peluang untuk perbaharui LKM tetapi selepas 31 Disember, sekiranya tiada arahan daripada kerajaan untuk sambung lagi moratorium LKM kita akan ambil tindakan undang-undang.

"Kita galakkan untuk membuat urusan secara dalam talian bagi urusan yang tidak rumit seperti memperbaharui lesen memandu," katanya dalam sidang akhbar Operasi Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi pada Jumaat.

Salah seorang pegawai JPJ memberi advokasi berkenaan keselamatan topi keledar kepada penunggang motosikal.
Salah seorang pegawai JPJ memberi advokasi berkenaan keselamatan topi keledar kepada penunggang motosikal.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail dan Pengarah JPJ, Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf.

Sementara itu, Aedy berkata, sebanyak 3,210 kenderaan telah diperiksa dalam Operasi Bersepadu yang disertai anggota JPJ dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan itu.

"Sebanyak 596 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu di kedua-dua hala Plaza Tol Sungai Besi," katanya.

Tambahnya, beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen Malaysia), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut hadir dalam operasi tersebut.