X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Warga emas maut, isteri cedera nahas

Mayat mangsa di lokasi sebenar diangkat untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan selanjutnya -Foto: ihsan polis
A
A

KEMAMAN - Seorang warga emas maut sementara isterinya cedera selepas kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di Kilometer 109 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran kawasan Perindustrian Kerteh, di sini, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang, Che Malias Harun, 69, yang memandu kereta jenis Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi dan isterinya, Missroheemah Dueloh, 51, cedera di bahagian kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, pasangan suami isteri terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Geliga, Chukai, di sini, selepas membeli madu di Kampung Merchang, Marang.

"Tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh, menyebabkan kereta tersebut berpusing beberapa kali sebelum terbalik di kiri jalan," katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Hanyan berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut, sementara isterinya yang cedera di anggota badan dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!