MAIWP agih dana zakat RM587 juta sehingga Oktober

Mohd Daud (tiga dari kiri) dan Kamarudin (tengah) menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan Program Berkongsi Rezeki Bersama Asnaf di Masjid Azzubair Ibnu Awwam, Cheras pada Jumaat.
Mohd Daud (tiga dari kiri) dan Kamarudin (tengah) menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan Program Berkongsi Rezeki Bersama Asnaf di Masjid Azzubair Ibnu Awwam, Cheras pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan zakat sebanyak RM587 juta sejak Januari hingga Oktober lalu.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, agihan itu melibatkan pelbagai program dan bantuan kepada asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, RM91 juta telah diagihkan sendiri melalui penerima wakalah kepada asnaf.

"Konsep wakalah ini merupakan inisiatif MAIWP menggalakkan pembayaran zakat daripada syarikat dan golongan korporat," katanya selepas merasmikan Program Berkongsi Rezeki Bersama Asnaf di Masjid Azzubair Ibnu Awwam, Cheras pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar.

Mohd Daud berkata, seramai 1,573 penerima iaitu penduduk di 15 Projek Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan akan menerima manfaat daripada program yang diperkenalkan sejak November lalu.

Mohd Daud (dua dari kiri) menyampaikan bakul makanan kepada penerima di Masjid Azzubair Ibnu Awwam, Cheras pada Jumaat.
Mohd Daud (dua dari kiri) menyampaikan bakul makanan kepada penerima di Masjid Azzubair Ibnu Awwam, Cheras pada Jumaat.

Tambahnya, setakat ini sebanyak 12 PPR telah menerima sumbangan itu menerusi empat siri program yang diadakan dan bakinya akan diagihkan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Setiap penerima akan mendapat barangan kering disumbangkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai hampir RM236,000.

"Syarikat QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd turut menyumbang 15 ekor lembu dengan jumlah dana wakalah sebanyak RM73,500," katanya.

Menurut beliau, program tersebut akan diteruskan pada masa akan datang selain penambahan program-program lain yang berbentuk lestari untuk jangka masa panjang.

"Antaranya hendak pastikan setiap asnaf mempunyai perlindungan takaful dan kad kesihatan. Daripada segi pendidikan pula, MAIWP mahu semua anak asnaf mempunyai peluang melanjutkan pengajian walaupun tiada wang atau biasiswa.

"Wang zakat mungkin banyak tetapi tidak mencukupi untuk membantu keseluruhan masyarakat di Kuala Lumpur.

"Untuk itu, kami akan melancarkan program wakaf secara besar-besaran tahun hadapan dan sumbangan itu boleh digunakan untuk pembangunan fasiliti serta prasarana," katanya.