X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

NGO sokong Himpunan Malaysia

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Suleiman
A
A

SHAH ALAM - People Moderation Movement (PMM) atau Gerakan Rakyat Bersatu − sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang teras perjuangannya untuk memperkukuhkan harmoni dan kestabilan antara kaum di negara ini akan memberi segala dokongan dan kerjasama kepada Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Suleiman Mohamed berkata, beberapa cadangan dan visi PMM yang sedia ada akan dikemukakan kepada badan baharu yang diusahakan oleh 55 tokoh negara daripada pelbagai latar belakang ini.

“Ahli-ahli kami yang terdiri daripada pelbagai kaum di seluruh negara akan diarah mendokong musyawarah demokrasi ini,” katanya pada Jumaat.

Kewujudan Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik ini, kata Dr Suleiman, adalah tepat pada masanya kerana Malaysia memerlukan reset baharu bagi membolehkannya maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

“PMM mengucapkan syabas dan tahniah atas penubuhan badan ini dan mengalu-alukan hasratnya dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang lebih maju dan cemerlang pada masa akan datang.

“Adalah sangat tepat penubuhan badan ini pada saat Malaysia berdepan dengan berbagai keruncingan baik dari segi ekonomi, politik dan penyakit sosiopatik berbagai kaum.

“Ditambah dengan gejala pandemik Covid-19 dewasa ini, kesengsaraan yang di alami masyarakat luas, khususnya rakyat bawahan di bandar atau di luar bandar dan pedalaman haruslah diatasi dengan berbagai kaedah, ujar beliau.

Dr Suleiman yang juga bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sejumlah 55 tokoh yang tergabung itu mempunyai berbagai latar belakang dan pengalaman hebat serta mampu menggariskan garis lintang beberapa resolusi sosial, ekonomi dan politik yang boleh diterima kerajaan bagi kebaikan Malaysia.

PMM turut dianggotai Tan Sri Azmi Khalid, Tan Sri Khalid Yunus, Datuk David Yeoh, Datuk Dr Mutu Veelo dan Tan Sri Steven Voon.

Himpunan Malaysia yang Lebih Baik dicadangkan adalah langkah pertama ke arah sebuah reset kebangsaan menyeluruh.

INFO - Tumpuannya ialah

Menetapkan semula nilai-nilai kebangsaan Malaysia dan kontrak sosial kita yang tersirat.

Mengadakan perundingan dan memberikan syor tentang bagaimana demokrasi, institusi dan ekonomi kita harus berfungsi, termasuk tetapi tidak terhad kepada isu sistem pilihan raya, pendanaan politik, hubungan kerajaan Persekutuan − kerajaan negeri, peranan institusi, dasar afirmatif dan pendidikan.

Mengenal pasti rombakan dasar dan perundangan tertentu yang diperlukan.

* Ia adalah idea anak bongsu Tun Abdul Razak Hussein iaitu Tan Sri Mohamed Nazir


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!