Keuntungan bersih Petronas Dagangan susut kepada RM119.31 juta

Petronas Dagangan
Petronas Dagangan
A
A
A

KEUNTUNGAN bersih Petronas Dagangan Bhd (PDB) bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, susut kepada RM119.31 juta daripada RM212.66 juta berbanding suku yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM5.2 bilion daripada RM4.83 bilion sebelumnya.

PDB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, jualan kumpulan itu terus mengalami kesan akibat pandemik Covid-19 walaupun sekatan perjalanan berkurangan dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata, peningkatan dalam trend harga Mean of Platts Singapore (MOPS) dan pemulihan secara beransur-ansur berikutan kelonggaran sekatan perjalanan telah menyokong peningkatan dalam prestasi keuntungan kumpulan itu tahun ini setakat ini.

Menurut Wikipedia, MOPS ialah purata set penilaian harga produk minyak berasaskan Singapura yang diterbitkan oleh Platts, pembekal maklumat tenaga, petrokimia, logam dan pertanian global serta bahagian S&P Global.

Hasil kumpulan bagi suku tersebut melonjak sebanyak RM370.2 juta apabila purata harga jualan meningkat sebanyak 23 peratus walaupun volum jualan lebih rendah sebanyak 12 peratus manakala keuntungan sebelum cukainya sebanyak RM165.5 juta lebih rendah sebanyak RM122.8 juta berbanding suku yang sama tahun lepas.

“Ini disebabkan oleh keuntungan kasar yang lebih rendah berikutan volum jualan yang lebih rendah serta pendapatan lain yang lebih rendah pada suku semasa. Penurunan itu diimbangi oleh perbelanjaan mengurus yang lebih rendah kebanyakannya daripada komisen peniaga yang lebih rendah sejajar dengan volum jualan lebih rendah,” katanya.

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu menjangkakan bahawa pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam Bajet 2022 baru-baru ini akan memberi kesan positif terhadap permintaan produk PDB.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ia berkata, harga minyak mentah Brent juga terus meningkat berbanding suku sebelumnya yang dirangsang oleh pemulihan ekonomi di pasaran utama di seluruh dunia dan keputusan OPEC+ untuk mengekalkan peningkatan pengeluaran bulanannya sehingga awal tahun 2022.

“Kami memantau aliran pasaran dengan teliti untuk peluang pertumbuhan. Walaupun kami optimis untuk mengekalkan pemulihan pertumbuhan dengan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula dan kelonggaran sekatan pergerakan, kami kekal berhati-hati dengan kadar pemulihan memandangkan peningkatan kes Cobid-19 di seluruh dunia,” katanya. - Bernama