Banjir di daerah Hilir Perak semakin pulih

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Keadaan banjir di daerah Hilir Perak semakin pulih apabila sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Dewan Serbaguna Chikus ditutup, petang Jumaat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, bagaimanapun penutupan PPS itu adalah bersifat sementara dan dalam keadaan berjaga-jaga atas sebarang kemungkinan banjir kilat berlaku lagi.

"Setakat ini, kesemua 39 mangsa daripada 13 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pula menunjukkan penurunan dengan jumlah mangsa banjir sebanyak 61 mangsa daripada 19 keluarga," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

PPS MPTI yang dibuka pada jam 3 petang Rabu, menempatkan penduduk dari lima buah kampung iaitu Kampung Sungai Rambai, Kunci Air 12 Headwork, Kampung Tanjong Keramat, Sungai Kucing dan Sungai Seluang.

Manakala, PPS Dewan Serbaguna Chikus, Langkap dibuka pada 10 malam hari sama, menempatkan penduduk dari kampung Kampung Belt, Kampung Kunci Air 12, Parit 4,5,6 dan 7, Chikus.

Banjir kilat berlaku akibat limpahan air Sungai Batang Padang menyebabkan kawasan penempatan penduduk dinaiki air setinggi 0.3 meter. - Bernama

Artikel Berkaitan: