Highland Towers: Pembangunan semula, kaedah optimumkan tanah

HANIZA
HANIZA
A
A
A

SUBANG JAYA - Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan pendekatan diambil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membangunkan semula kawasan Highland Towers yang terbiar sejak 26 tahun lalu​ sebagai kaedah untuk mengoptimumkan tanah sedia ada.

​Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Ta​l​ha berkata, ​​Highlands Tower adalah kawasan yang sudah lama ditinggalkan dan tidak diduduki sesiapa.

​Beliau berkata, tambahan lagi di Lembah Klang terutamanya, tanah sangat mahal dan kawasan bandar juga sangat luas.

"Kita tak nak kembangkan lagi bandar ni dengan tebang pokok dan sebagainya... jadi dengan memanfaatkan tanah-tanah sedia ada, penggunaannya dapat dioptimumkan serta lebih lestari.

"Apabila KPKT menunjukkan minat untuk membangunkan kawasan Highland Towers ini, kerajaan negeri memang tiada halangan dan sangat mengalu-alukan usaha yang dibuat," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa siasatan tempatan dan pendengaran Draf Rancangan Tempatan Subang Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas berhubung perobohan bangunan Highland Towers dijangka pada Jun ini, Haniza memberitahu, pihaknya percaya keputusan itu dibuat selepas KPKT memperoleh maklumat yang diperlukan bagi meneruskan proses tersebut.

"Saya tiada maklumat terus daripada KPKT berhubung perkara ini, tapi kebiasaannya dalam projek-projek pembangunan semula mesti mendapat persetujuan 100 peratus daripada semua pemilik unit berhubung apa yang akan dilaksanakan di situ... jadi saya percaya perkara itu telah dilakukan oleh KPKT," katanya.

Dalam perkembangan sama, Haniza turut bersetuju dengan cadangan KPKT sebelum ini untuk membangunkan kawasan Highland Towers sebagai taman rekreasi.

Artikel Berkaitan:

Ia dilihat lebih sesuai dan selamat memandangkan struktur tanah di situ tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

"Jika bina taman rekreasi, tiada bangunan tapi kalau bina kediaman, ada bangunan, penghuni, kenderaan dan lain-lain, jadi pembangunan di cerun perlu mampu menanggung bebanan ini.

"Tambah lagi, taman rekreasi juga dilihat sebagai salah satu keperluan pada masa kini kerana reka bentuk atau konsep yang dibuat mampu menarik orang ramai untuk memanfaatkannya," katanya.

Terdahulu, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin memberitahu kerja-kerja perobohan bangunan Highland Towers dijangka dibuat selewat-lewatnya Jun ini bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan terbabit.

Katanya, KPKT juga sedang meneliti pihak mana yang mempunyai punca kuasa untuk merobohkan bangunan berkenaan.