X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Cabaran Malaysia di Terbuka Indonesia berakhir

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin akur kehebatan gandingan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang merupakan pilihan keenam kejohanan. - FOTO: Badminton Association of Malaysia - BAM
A
A

HASRAT untuk melihat wakil Malaysia mara lebih jauh pada saingan Terbuka Indonesia 2021 tidak kesampaian selepas empat beregu negara kecundang pada peringkat suku akhir kejohanan itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua pada Jumaat.

Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gagal mengekalkan momentum ketika mengejutkan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 Lee Yang-Wang Chi-Lin pada pusingan kedua semalam apabila tewas di tangan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

Bagaimanapun, gandingan Goh dan Nur Izzuddin memberikan tentangan sengit kepada pasangan pilihan keenam kejohanan itu yang akhirnya menoktahkan kemenangan 21-19, 21-19 dalam tempoh 43 minit untuk menempah slot di separuh akhir.

Keputusan itu disusuli dengan kekalahan 21-14, 14-21, 16-21 beregu lelaki profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kepada peserta tuan rumah Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang merupakan pasangan nombor satu dunia.

Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, pasangan profesional Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang diletak sebagai pilihan kelima kejohanan, dikecewakan oleh gandingan Korea Selatan Ko Sung Hyun-Eom Hye Won 21-15, 16-21, 18-21 selepas bertarung selama 72 minit.

Satu lagi gandingan campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, juga menamatkan cabaran mereka pada kejohanan itu selepas gagal menyaingi kehebatan pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 10-21, 10-21.

Selepas ini, fokus kem badminton negara beralih ke Kejohanan Badminton Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang turut berlangsung di sana bermula 1 hingga 5 Disember ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!