Harga sayur melonjak, pekebun dakwa punca kekurangan pekerja asing

Pekebun mendakwa apabila hasil pengeluaran berkurangan, secara tidak langsung mereka terpaksa menaikkan harga sayur-sayuran di pasaran. Gambar hiasan.
Pekebun mendakwa apabila hasil pengeluaran berkurangan, secara tidak langsung mereka terpaksa menaikkan harga sayur-sayuran di pasaran. Gambar hiasan.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Pembekuan pengambilan pekerja asing di semua sektor yang masih dikuatkuasakan kerajaan sehingga kini dikatakan menjadi antara punca utama harga sayur di pasaran melonjak.

Menurut Setiausaha Pertubuhan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Chay Ee Mong, kekurangan tenaga pekerja yang dialami sejak dua tahun lalu menyebabkan pengusaha kebun sayur terpaksa mengurangkan hasil pengeluaran.

Katanya, apabila hasil pengeluaran berkurangan, secara tidak langsung mereka terpaksa menaikkan harga sayur-sayuran di pasaran.

"Sejak dua tahun yang lalu pengambilan atau permohonan pekerja asing baharu telah dibekukan. Jadi kita mengalami kekurangan sumber tenaga manusia.

"Ladang-ladang tak kira besar atau skala kecil itu tak cukup tenaga buruh. Jadi hasilnya pun kurang kerana dulu misalnya, pengusaha atau petani boleh usaha lima ekar, sekarang tak cukup pekerja, dia kena kurangkan 10 ke 20 peratus (pengeluaran).

"Jadi kini jadi dia hanya boleh usaha tiga hingga ekar sahaja. Ini pun menjadi satu punca mengapa hasil kita sudah dikurangkan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun India Cameron Highlands, S. Madhan, berkata untuk mengatasi isu pekerja asing, pihaknya berusaha membuka tawaran kerja kepada warga tempatan, namun tidak mendapat sambutan.

"Kami ada membuka peluang untuk pekerja tempatan tapi tidak ada ramai yang minat kerja di ladang. Jadi kita kekurangan pekerja. Oleh itu, kita tidak dapat mengeluarkan produk yang banyak, ia akibatkan harga pun (naik) mendadak.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kerajaan dapat bagi kita merekrut pekerja asing untuk bekerja di ladang, kami boleh mengeluarkan hasil pertanian lebih banyak dan harga sayur-sayuran serta hasil pertanian pun boleh stabil," katanya.

Selain itu, pengusaha kebun juga mengakui musim tengkujuh dan kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku di Cameron Highlands akhir-akhir ini turut menyebabkan kenaikan harga sayur-sayuran.

Mereka berkata, keadaan itu mendorong kepada peningkatan kos pengangkutan yang memberi kesan kepada harga sayur-sayuran.

Selain itu, kata mereka terdapat juga kebun dilanda banjir menyebabkan tanaman rosak sekali gus mengurangkan lagi hasil pengeluaran sayur-sayuran.

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan selepas ayam, kini harga sayur-sayuran turut mengalami kenaikan mendadak.

Tinjauan di Kuantan mendapati sayur seperti kubis, cili merah, lobak dan sawi mencatat peningkatan harga sehingga 150 peratus. - Awani