Dua pesara kerajaan manfaat usia emas

A
A
A

REMBAU -[DIKEMAS KINI] Dua pesara kerajaan yang kini dalam usia emas masih bergerak aktif dan menyumbang tenaga kepada masyarakat meskipun sudah bersara lebih 20 tahun lalu.

Salah seorang pesara yang juga bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan, Mohd Zaki Lasim masih bersemangat dan bersungguh-sungguh memastikan diri serta keluarganya mendapat kehidupan lebih baik selepas bersara wajar dicontohi.

MOHD ZAKI
MOHD ZAKI

Mohd Zaki, 72, memilih untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak 2015 dengan menjual madu kelulut dan produk hiliran selepas menyedari khasiat dan manfaatnya kepada kesihatan.

“Saya menternak lebah kelulut selepas isteri, Rozinah Abu Bakar, 63, disahkan oleh doktor mengalami enam jenis penyakit antaranya paru-paru berair, paru-paru dijangkiti kuman, kolesterol tinggi selain saluran jantung tersumbat.

“Ketika isteri menerima rawatan di hospital, ada yang mencadangkan supaya kami mencuba kaedah perubatan alternatif sementara menunggu rawatan lanjut dengan mengamalkan madu lebah kelulut,” katanya.

Beliau bercerita ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Legung Ulu, di sini semasa lawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman pada Khamis.

Menurut Mohd Zaki, kesihatan isterinya semakin baik selepas mengamalkan madu kelulut.

Artikel Berkaitan:

Bermula detik itu, beliau bersama isterinya bergelar usahawan madu kelulut dan menjual produk hiliran dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

“Secara tidak langsung, dengan adanya perniagaan ini saya tidak terlalu bergantung kepada wang pencen. Saya mampu menambah pendapatan melalui hasil perniagaan dan memanfaatkan masa selepas bersara,” katanya yang kini mempunyai lebih 80 sarang lebah kelulut.

Sementara itu, pesara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr. Siti Hawa Ahmad pula tidak mahu menjadikan usia sebagai penghalang untuk melakukan apa juga pekerjaan.

DR SITI HAWA
DR SITI HAWA

“Selepas bersara pada tahun 1998, saya mengambil keputusan untuk menetap di kampung dan menganjurkan pelbagai aktiviti di rumah seperti memasak, menghasilkan kraftangan dan tip kecantikan bersama suri rumah dan komuniti setempat. Kini, saya aktif mengadakan aktiviti bersama Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) Rembau.

“Masih belum terlambat untuk semua pesara terus berbakti kepada masyarakat dengan cara seperti ini,” katanya.

Dr. Siti Hawa, 78, yang juga bekas Pengerusi Pawe Rembau menasihatkan pesara untuk mengutamakan kesihatan masing-masing.

Bantu pesara

ANOM
ANOM

Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Anom Akmar Mohd Omar, JPA telah melaksanakan libat urus dengan pesara dalam bidang keusahawanan sejak 2018.

“Kami membantu pesara atau bakal pesara dengan membuat perancangan sebelum bersara antaranya perkongsian pengalaman daripada usahawan berjaya.

“Kami berharap mereka akan memanfaatkan perkongsian tersebut untuk menambahkan pendapatan mereka selepas bersara.

“Mereka bukan sahaja menjalankan satu aktiviti yang boleh memberikan manfaat kepada fizikal tetapi membantu mereka mempunyai minda yang sihat," katanya.

Mohd Khairul Adib (tiga dari kiri) ketika melawat Pawe Rembau pada Khamis.
Mohd Khairul Adib (tiga dari kiri) ketika melawat Pawe Rembau pada Khamis.

Jelasnya, JPA turut bekerjasama dengan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dalam memastikan bakal pesara mendapat maklumat yang tepat berhubung kaedah dan pengurusan persaraan.

Sementara itu, sebelum mengadakan sesi lawatan bersama pesara, Mohd Khairul Adib telah menyampaikan amanat kepada Pengurus Sumber Manusia Jabatan/Agensi Negeri Sembilan di Seremban.