Selangor peruntuk RM65.4 juta atasi isu aliran trafik

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Jumaat.
Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM65.4 juta untuk memastikan jalan-jalan sedia ada dapat menampung peningkatan aliran trafik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan tersebut juga untuk mengatasi masalah kesesakan di jalan-jalan dalam negeri berkenaan termasuk cadangan projek naik taraf.

Selain itu, Amirudin berkata, sebanyak RM44 juta diperuntukkan pada tahun 2022 untuk menampung kerja-kerja pembinaan jalan baru yang sedang dibina.

Menurutnya, jalan-jalan tersebut akan melalui kawasan-kawasan baharu dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sekitar yang melibatkan beberapa daerah seperti Gombak, Sepang dan Kuala Langat.

"Antara projek yang akan mula dilaksanakan bermula tahun depan ialah pembinaan jalan sambungan Sungai Kelambu – Genting Sanyen, Kuala Langat dengan peruntukan sebanyak RM10 juta dan jalan yang menghubungkan Kampung Sri Indah A ke Jalan Hospital Sungai Buloh (B9) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.23 juta bagi meneruskan pembinaan Jambatan Kampung Sungai Kundang, Gombak serta Jambatan Kampung Sungai Buah di Sepang.

Katanya, kerajaan Selangor turut meluluskan peruntukan berjumlah RM2 juta untuk melaksanakan kerja-kerja pewartaan jalan-jalan negeri di Selangor yang melibatkan sembilan daerah di negeri tersebut secara berperingkat.

Artikel Berkaitan: