Isu mutu pengadilan perlu diambil perhatian: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal bercakap pada temu ramah bersama Bernama mengenai Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Faizal bercakap pada temu ramah bersama Bernama mengenai Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari di Wisma Bernama hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu mutu pengadilan melibatkan pegawai perlawanan tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) perlu diambil perhatian, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, masih kedengaran keluhan penonton dan pasukan yang tidak begitu gembira dengan prestasi pengadil, ketika segelintir pegawai perlawanan tempatan bertaraf antarabangsa selain pelbagai kursus dan latihan yang telah disediakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada mereka.

Beliau berpendapat, perlunya FAM menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut bagi merungkai punca utama kepada permasalahan itu.

“Apakah ia berlaku akibat daripada faktor di luar daripada kebolehan pengadil itu sendiri, apakah ada unsur penyelewengan, rasuah atau apa sahaja. Saya tidak kata benda (penyelewengan dan rasuah) itu ada tetapi perlu kita lihat sampai ke tahap tersebut.

“Kalau para penonton secara majoritinya tidak bersetuju (isu mutu pengadilan), saya pasti tentunya ada sesuatu yang tidak betul dekat situ, jadi kita kena ambil perhatian,” katanya kepada Bernama selepas sesi Program Bual Bicara Bersama Menteri Belia dan Sukan yang disiarkan Bernama TV di sini, pada Jumaat.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, tidak adil untuk menyimpulkan mutu pengadilan di peringkat domestik secara keseluruhannya berada pada tahap yang lemah, jika ia hanya melibatkan sebilangan kecil perlawanan.

Mutu pengadilan terus menjadi perhatian dalam saingan Liga-M musim ini, dengan beberapa insiden kekasaran dalam kalangan pemain, malah turut berlaku ke atas pegawai perlawanan, sehingga menyaksikan FAM menjatuhkan hukuman kepada individu-individu yang didapati bersalah.

Biarpun begitu, isu tersebut sekali lagi menjadi 'buah mulut' selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, yang berkesudahan 1-1, Isnin lepas.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan beberapa insiden kekasaran yang berlaku pada aksi tersebut yang dianggap tidak ditangani dengan baik, dengan situasi itu turut mendapat perhatian pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berpendapat pengadil bertugas tidak menunjukkan mutu pengadilan yang baik. - Bernama