IJM Construction peroleh tiga kontrak bernilai RM680 juta

No Image Caption
A
A
A

IJM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd (IJM Corp) telah memperoleh tiga kontrak pembinaan bernilai RM680 juta.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, IJM Corp berkata kontrak itu terdiri daripada projek pangsapuri servis bernilai RM242.4 juta di Segambut, projek kediaman mewah RM382.8 juta di Bukit Kiara, kedua-duanya di Kuala Lumpur dan projek pembesaran kilang RM55.0 juta di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Ia berkata, projek Segambut diperolehi daripada JKG Central Park Sdn Bhd, unit milik penuh JKG Land Bhd, yang mana IJM Construction akan bertanggungjawab untuk pembinaan dua blok menara pangsapuri servis.

“Apartmen servis itu adalah Fasa 2 projek pembangunan bercampur utama JKG Land, The ERA @ Duta North di Segambut. Pembinaan telah dimulakan bulan ini dan dijadual siap dalam tempoh 38 bulan pada Disember, tahun 2024,” katanya.

Bagi projek kediaman mewah bernilai RM382.8 juta yang telah dianugerahkan oleh Sime Darby Property (KLGCC Resort) Sdn Bhd itu, IJM Construction akan membina dua menara kediaman mewah 41 tingkat untuk Jendela Residences dalam perbandaran KLGCC Resort di Bukit Kiara.

"Projek itu akan mengambil masa kira-kira 31 bulan untuk disiapkan dari tarikh dijadualkan bermula dari April 2022 hingga November 2024," katanya.

Mengenai projek pembesaran kilang bernilai RM55.0 juta, IJM Corp berkata ia adalah untuk firma perkhidmatan pembuatan elektronik, Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd.

“Pembinaan kemudahan pengeluaran dan gudang seluas 190,000 kaki persegi itu telah dimulakan pada Oktober, 2021 dan dijadualkan siap dalam tempoh kira-kira enam bulan pada April tahun depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

IJM Corp berkata tiga anugerah kontrak itu akan menjadikan kontrak diperoleh IJM Construction setakat ini kepada lapan projek bernilai RM1.34 bilion untuk tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac, 2022.

Sehingga akhir Jun, 2021, nilai perolehan kontrak tertunggak bahagian IJM Construction kekal positif pada kira-kira RM4.0 bilion, katanya. - Bernama