Pemuda UMNO kesal kerajaan belakangi Raja-Raja Melayu

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO kesal terhadap sikap Kerajaan PH yang berterusan membelakangi Majlis Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan untuk menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendedahan yang dibuat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa keputusan penyertaan Malaysia dalam Statut Rom tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja Melayu, amat mengecewakan.

"Ini hanya menyerlahkan sikap sebenar Kerajaan PH yang sekali lagi membelakangi dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

"Walhal keputusan untuk Malaysia menjadi negara ahli Statut Rom memberi implikasi besar dan serius kepada kedudukan, kedaulatan dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang lain," katanya.

Menurutnya, walaupun terdapat kemungkinan Peguam Negara mempunyai justifikasi terhadap isu imuniti raja yang dianggap tidak terkesan daripada Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom yang memperuntukkan Ketua Negara dan Ketua Angkatan Tentera adalah tertakluk di bawah Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

"Namun apa jua alasan, kerajaan sewajarnya tidak tergesa-gesa menandatangani sebarang perjanjian antarabangsa yang boleh terdedah kepada isu-isu menyentuh Perlembagaan Persekutuan sebelum dirujuk kepada pihak Majlis Raja-Raja Melayu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Persetujuan Statut Rom beri kepentingan pihak tertentu

Menurutnya, sejak kerajaan baharu ditubuhkan, rakyat tertanya-tanya mengenai tindakan Kerajaan PH yang sentiasa dilihat terburu-buru untuk menyertai pelbagai konvensyen antarabangsa yang menyentuh Hak Asasi Manusia yang mana hanya diperjuangkan oleh kelompok minoriti daripada kumpulan liberal dalam isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Artikel Berkaitan:

"Seharusnya perasaan dan sentimen rakyat majoriti yang lebih utama diambil kira bagi memastikan pasak-pasak negara yang mendasari Perlembagaan Persekutuan tidak goyang dan melebur. Pasak-pasak inilah yang memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara berterusan," katanya.

Justeru Pemuda UMNO menggesa untuk kerajaan segera mengadap Majlis Raja-Raja Melayu bagi memberikan penjelasan menyeluruh dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tentang kewajaran menyertai Statut Rom itu.