ADUN Kelantan perlu jalani ujian RT-PCR pada 1 Disember: Speaker

Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub
Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub
A
A
A

KOTA BHARU - Kesemua 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan perlu menjalani ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (RT-PCR) Covid-19 pada 1 Disember depan di Dewan Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub berkata, persidangan dewan akan dilaksana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19.

"SOP kita sama seperti sebelum ini iaitu semua pihak yang terlibat seperti ADUN, ketua jabatan dan pengamal media perlu melakukan ujian Covid-19 sebelum menghadiri persidangan.

"Ini bagi memastikan semua yang hadir adalah sihat malah mereka yang hadir juga perlu menggunakan pelitup muka, mengimbas Kod QR dan menjaga penjarakan fizikal," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Belanjawan Kelantan 2022 dijangka dibentang pada 2 Disember manakala sidang DUN akan bersambung pada 5 hingga 7 Disember dengan setiap ADUN membahaskannya.

Kali terakhir Persidangan DUN Kelantan diadakan ialah pada 23 hingga 25 Ogos lalu dengan dihadiri kesemua ADUN yang mengamalkan norma baharu. - Bernama

Artikel Berkaitan: