Negeri Sembilan bentang belanjawan defisit RM88 juta

Aminuddin ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat DUN Ke-14 pada Jumaat. - Foto media MBNS
Aminuddin ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat DUN Ke-14 pada Jumaat. - Foto media MBNS
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2022 defisit berjumlah RM88 juta, pada Jumaat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kedudukan rizab yang kukuh sebanyak RM899 juta membolehkan kerajaan negeri menetapkan peruntukan perbelanjaan tahun 2022 sebanyak RM520 juta.

"Ia melebihi jangkaan hasil sebanyak RM432 juta atau defisit sebanyak RM88 juta yang merangkumi pelbagai bantuan kewangan, pemberian tunai, insentif bukan kewangan dan bantuan sokongan.

"Bagi perbelanjaan pembangunan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM130 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam Negeri Sembilan dapat bonus setengah bulan gaji

Katanya, sebagai bukti kerajaan negeri bersungguh-sungguh memulihkan ekonomi adalah perlu untuk berbelanja lebih daripada kutipan hasil bagi membolehkan lebih banyak intervensi dan suntikan dana dilaksanakan.

"Namun belanjawan defisit ini adalah berfokus dan terarah, dengan memberikan keutamaan kepada sektor-sektor yang memberi nilai pengganda tinggi kepada ekonomi.

"Oleh itu, tiga strategi akan direalisasi melalui 52 inisiatif merangkumi 40 inisiatif sedia ada dan 12 inisiatif baharu dengan memfokuskan kepada lapan bidang tumpuan iaitu ekonomi rakyat, pendidikan, kebajikan, pemerkasaan komuniti, belia dan wanita, kerohanian dan agama, institusi adat dan pentadbiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Aminuddin lagi, kerajaan negeri sedang berhadapan dengan dua krisis yang tidak pernah dihadapi sebelum ini iaitu krisis kesihatan (pandemik Covid-19) dan krisis ekonomi.

"Pastinya memerlukan pendekatan yang berbeza dalam usaha memulihkan ekonomi secepat mungkin.

"Justeru, belanjawan tahun 2022 ini dirangka untuk 'Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat' dengan dua tekad iaitu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan meningkatkan keupayaan penjanaan pendapatan keluarga.

"Belanjawan 2022 dirangka secara menyeluruh dan inklusif hasil dapatan daripada pakar ekonomi, sesi rasionalisasi dan konsultasi dengan pemegang taruh sehingga maklum balas peringkat akar umbi," katanya.