Miliki dadah: Dua lelaki terlepas hukuman gantung

Kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan menukar pertuduhan mereka daripada kesalahan mengedar kepada memiliki dadah. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan menukar pertuduhan mereka daripada kesalahan mengedar kepada memiliki dadah. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua lelaki terlepas daripada hukuman gantung atas dua kes kesalahan mengedar dadah berlainan dan dijatuhkan hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan pada Jumaat menukar pertuduhan mereka kepada kesalahan memiliki dadah.

Seorang pemandu lori, Mahadi Abidin, 50, dihukum penjara 25 tahun kerana memiliki 97.76 gram (g) ganja di tempat letak kereta sebuah restoran nasi kandar di Taman Sejati, Sungai Petani, Kedah pada 15 Julai, 2015.

Beliau juga terlepas daripada dikenakan rotan kerana telah mencapai usia 50 tahun beberapa minggu lalu.

Dalam satu lagi kes, Mohd Fadli Yusoff, 41, dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 kali sebatan kerana memiliki 103.44g methamphetamine di sebuah apartmen di Pandan Mewah Height di Selangor pada 3 Januari 2016.

Tiga Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bersidang bagi mendengar kedua-dua kes itu secara berasingan pada Jumaat.

Kes Mahadi dan Mohd Fadli sebelum ini dibicarakan di dua Mahkamah Tinggi berbeza dan masing-masing didapati bersalah atas kesalahan mengedar dadah dan dijatuhkan hukuman mati.

Dalam kes Mahadi, Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Has Zanah memutuskan bahawa rayuan yang dikemukakan lelaki itu mempunyai merit, kerana terdapatnya salah arah dalam keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, penghakiman untuk pengedaran dadah adalah tidak selamat, namun beliau menyatakan terdapat bukti mencukupi untuk mensabitkan hukuman terhadap lelaki itu atas dakwaan memiliki dadah.

Artikel Berkaitan:

Hakim Has Zanah berkata, Mahadi dikenakan hukuman penjara yang lebih lama kerana berat dadah tersebut dan mengarahkan hukuman itu bermula daripada 15 Julai 2015, iaitu tarikh lelaki itu ditangkap.

Peguam bela Mahadi, S Jayananda Rao telah menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah melakukan kesilapan terhadap bahan bukti yang dikenakan pada anak guamnya ketika diarahkan membela diri.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah.

Sebelum itu Mahkamah Rayuan yang sama telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 20 sebatan terhadap Mohd Fadli atas kesalahan memiliki dadah. Hukuman penjara itu bermula daripada tarikh tangkapan iaitu 3 Januari 2016.

Perkara itu selepas Timbalan Pendakwa Raya How May Ling memaklumkan kepada mahkamah bahawa, Mahkamah Persektuan dalam kes Alma Nudo lawan Pendakwa Raya, di mana mahkamah telah memansuhkan satu peruntukan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 (DDA) yang membolehkan ‘anggapan berganda’ diguna pakai untuk mensabitkan seseorang tertuduh kerana mengedar dadah.

Dalam kes Mahadi, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan kesalahan berdasarkan kepada anggapan berganda.

Bagaimanapun, May Ling berkata, terdapat kes kerana memiliki dadah terhadap Mahadi berdasarkan kepada bukti yang dibentangkan di mahkamah.

Mohd Fadli, yang diwakili peguam V Saravanan juga telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas dua kesalahan memiliki dadah, yang mana beliau (Mohd Fadli) tidak membuat rayuan.

Lelaki itu telah dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan kerana memiliki 20.51g ganja di sebuah apartmen dan tiga tahun penjara dan tiga sebatan kerana memiliki 5.13g methamphetamine dalam poketnya. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak. - Bernama