4 program galak guna pengangkutan awam diteruskan tahun depan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan empat program untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat di negeri ini pada tahun hadapan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejak tahun 2011, kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa program seperti perkhidmatan Bridge Express Shuttle Transit (BEST), perkhidmatan Central Area Transit oleh MBPP dan perkhidmatan Bas Percuma Congestion Alleviation Transport (CAT).

Menurutnya, ketika pandemik Covid-19 melanda, kerajaan negeri telah membiayai Pas Perjalanan Tanpa Had My30 dan membiayai tambang feri Pulau Pinang.

"Justeru, pada tahun 2022, kerajaan negeri telah memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan empat program bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Pulau Pinang iaitu meneruskan perkhidmatan BEST KOMTAR dan perkhidmatan Bas Percuma CAT Bridge.

"Kerajaan negeri akan terus membiayai Pas Perjalanan Tanpa Had iaitu Pas Mutiara dan membiayai tambang perkhidmatan feri Pulau Pinang bagi tahun 2022," katanya ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, kesemua program dan inisiatif itu melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Jelasnya, dengan program dan inisiatif yang dilaksanakan, kesemua perkhidmatan bas awam Rapid Penang dan perkhidmatan feri Pulau Pinang adalah percuma bagi semua rakyat Malaysia.

Sementara itu, Kon Yeow turut mengumumkan akan meneruskan pemberian insentif perkhidmatan sebanyak RM600 kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebanyak RM2 juta akan diperuntukkan untuk pembayaran insentif itu yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penerima.