Bersatu akan umum pengganti Mohd Rafiq

Hamzah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Larut di sebuah hotel pada Jumaat.
Hamzah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Larut di sebuah hotel pada Jumaat.
A
A
A

TAIPING - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan Pengerusi Bersatu Melaka yang baharu dalam masa terdekat susulan peletakan jawatan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan diumumkan selepas mendapat persetujuan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, Bersatu merakamkan penghargaan kepada Mohd Rafiq atas sumbangan sebagai Pengerusi Bersatu Melaka.

"Kita baru sahaja terima pada hari ini jadi kita ucapkan berbanyak terima kasih kepada Datuk Rafiq yang telah meletakkan jawatan sebagai Ketua BPN Bersatu Melaka.

"Kita akan buat keputusan tidak lama lagi insya-ALLAH akan diumumkan selepas dipersetujui Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden," katanya kepada pemberita ketika hadir merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Larut di sebuah hotel pada Jumaat.

Pada Khamis, Mohd Rafiq meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan (BPN) Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Surat rasmi peletakan jawatan beliau akan diserahkan kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Hamzah menjelaskan Bersatu belum memberikan sebarang arahan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedudukan kerusi ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan ditentukan oleh Speaker DUN Melaka.

Pada 23 November lalu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menegaskan, BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu untuk membawa masuk dua ADUN berkenaan dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

Mohamad memberitahu, tiada keperluan untuk dua ADUN baharu daripada PN itu dilantik sebagai Exco Melaka.