KKM kenakan sekatan perjalanan ke tujuh negara Afrika

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenakan sekatan perjalanan dari negara ini ke tujuh buah negara di Afrika bermula Sabtu ini.

Tujuh negara tersebut adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Ia susulan penularan varian baharu Covid-19, iaitu B.1.1.529, yang mempunyai 32 mutasi 'spike protein' iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian delta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KKM turut melakukan sekatan sementara kepada semua pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara-negara berkenaan.

"Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara tersebut dibenarkan memasuki negara namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah," katanya ketika sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Jumaat

Beliau berkata, tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga dan pencegahan serta kawalan sempadan bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara.

"Kesemua tindakan ini berkuat kuasa esok (Sabtu)," katanya.

Khairy berkata, KKM memandang serius dengan kewujudan varian baharu tersebut dan akan mempertingkatkan survelan genomik.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan survelan genomik yang dijalankan sehingga 26 November lalu, tiada virus Covid-19 varian baharu B.1.1.529 yang dilaporkan di Malaysia," katanya.

Ujarnya, setakat ini tiga buah negara telah melaporkan kes berkaitan varian tersebut iaitu Afrika Selatan sebanyak 77 kes, Botswana (empat) dan Hong Kong (dua).

Kes pertama dilaporkan di negara Botswana pada 11 November, manakala Afrika Selatan pada 14 November dan diikuti Hong Kong pada 25 November.

"Kes yang dilaporkan di Hong Kong mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan," katanya.

Tambahnya, sehingga kini, belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529 itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih lagi membuat pemantauan rapi mengenai perkembangan yang berkaitan pelaporan varian baharu B.1.1.529.

Buat masa ia dikategorikan oleh WHO sebagai varian di bawah pemantauan (VUM).

Ditanya mengenai strategi KKM terhadap pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke tujuh negara terbabit dan melakukan transit di Malaysia, Khairy berkata, pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung perkara itu.

"Kita akan ambil maklum untuk pastikan sejarah perjalanan pengembara agar sekatan dapat dilakukan terhadap mereka," katanya.