11 ADUN angkat sumpah sebagai Exco Melaka

Sulaiman semasa membaca ucapan taat setia sempena Istiadat Pengurniaan, Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri dekat Ayer Keroh, hari ini. Foto Bernama
Sulaiman semasa membaca ucapan taat setia sempena Istiadat Pengurniaan, Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri dekat Ayer Keroh, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Seramai 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka pada Jumaat.

Pada istiadat yang bermula 3.22 petang itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusof yang sebelum ini merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mendahului senarai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh sebagai Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan.

Ia disusuli Datuk Muhammad Jailani Khamis (Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan), Datuk Rahmad Mariman (Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir) dan Datuk Zaidi Atan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar).

Turut mengangkat sumpah, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani), V P Shanmugam (Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Datuk Kalsom Nordin (Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan).

Dr Muhamad Akmal Saleh (Exco Kesihatan dan Anti Dadah), Datuk Rais Yasin (Exco Pendidikan dan Teknologi), dan Ngwe Hee Sem (Exco Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna) turut mengangkat sumpah pada istiadat tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada istiadat itu turut memberi ucap taat setia dan disusuli bacaan doa oleh Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Sebelas Exco tersebut mengangkat sumpah bagi membentuk kerajaan negeri bagi penggal ke-15 susulan kemenangan majoriti Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lepas.

Sulaiman sebelum itu telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada awal pagi 20 November, sejurus BN diumumkan menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut dilantik sebagai Exco Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama. - Bernama