ATM rampas 1.3 tan ketum cuba diseludup ke negara jiran

Daun ketum.Gambar hiasan
Daun ketum.Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas 1.3 tan daun ketum dianggar bernilai hampir RM40,000 yang cuba diseludup ke negara jiran di daerah Padang Terap, Rabu lepas.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, rampasan dilakukan sepasukan anggota yang sedang menjalankan rondaan di kawasan sempadan di Batu Sempadan 29/190 pada 5.03 petang.

"Kesemua suspek disyaki bertindak melarikan diri ke arah kawasan hutan apabila menyedari kehadiran pasukan rondaan dan meninggalkan beberapa kenderaan serta daun ketum tersebut.

"Pemeriksaan menemukan beberapa guni dan plastik hitam berisi daun ketum di dalam kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dan Isuzu Trooper. Turut ditemui dan dirampas adalah empat motosikal, sejumlah mata wang Malaysia dan Thailand serta telefon bimbit," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, nilai keseluruhan rampasan termasuk daun ketum dan kenderaan dianggarkan berjumlah lebih RM77,000 dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut.

"ATM sentiasa bersiap siaga mengawal sempadan negara agar tidak dibolosi dan tidak sesekali berkompromi dengan pihak yang cuba melakukan jenayah," menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: