Tommy dakwa saman Najib bermotif politik

Najib, Tommy Thomas
Najib, Tommy Thomas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mendakwa saman yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya dan kerajaan atas dakwaan salah guna kuasa ketika mendakwa bekas Perdana Menteri itu dalam beberapa kes, adalah atas tujuan politik.

Menerusi afidavit sokongan bagi membatalkan saman bekas Perdana Menteri itu, Tommy berkata, beliau percaya yang Najib memfailkan saman itu untuk digunakan dalam kempen menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini dan juga untuk Pilihan Raya Umum akan datang, yang perlu diadakan pada pertengahan 2023.

Tommy, 69, berkata, perkara ini dibuktikan dengan fakta bahawa pertuduhan ini hanya dibangkitkan oleh Najib buat kali pertamanya, walaupun beliau telah didakwa dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada September 2018 serta kes pengubahan wang haram pada 2019.

Beliau mendakwa, Najib tidak pernah membangkitkan sebarang dakwaan ‘pendakwaan jahat’ sebagai sebahagian daripada pembelaannya dalam kes SRC International Sdn Bhd dan kes 1MDB yang sedang berjalan.

Tommy adalah Peguam Negara dari 4 Jun 2018 sehingga 28 Februari 2020 berkata, empat kes jenayah Najib masih belum selesai di Mahkamah Tinggi dan oleh sebab itu Najib masih kekal sebagai orang yang dituduh.

Tommy mendakwa sebagai seorang Pendakwa Raya, beliau tidak bertanggungjawab menjaga orang yang didakwa seperti Najib, antara lain kerana sistem adversarial di bawah undang-undang Malaysia.

Beliau berkata, jika saman itu tidak dibatalkan, tetapi perbicaraan diadakan atas pertimbangan pembuktian sivil, ia akan menyebabkan kes Najib akan dibicarakan semula sementara kes jenayah (dengan bebanan yang lebih tinggi) sedang berjalan.

“Ini tidak mampan dalam undang-undang. Ia juga bertentangan dengan kepentingan awam,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tommy berkata, dalam saman itu, Najib juga mendakwa yang dirinya (Tommy) telah membuat prasangka terhadap kesnya, sebelum membuat keputusan untuk mendakwanya serta campur tangan dalam penyiasatan.

“Apabila setiap kertas siasatan (IP) berkaitan Najib diserahkan kepada saya, saya berpuas hati bahawa terdapat kes yang kukuh terhadapnya. Saya melihat IP itu sebaik mungkin, membincangkannya dengan pegawai berkaitan di pejabat Pendakwa Raya (PP) dan kemudiannya secara jujur membuat keputusan untuk mendakwa Najib.

“Sehubungan itu, dakwaan dalam penyataan tuntutan yang menyatakan bahawa saya membuat keputusan untuk mendakwa beliau walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang salah laku, adalah dinafikan.

"Sama ada saya atau mana-mana kakitangan daripada pejabat PP masuk campur dalam siasatan SPRM terhadap Najib yang menyebabkan pendakwaan dilakukan. Siasatan dilakukan secara bebas oleh SPRM,” kata Tommy.

Beliau berkata, dakwaan plantif bertujuan untuk menggangu dan menakut-nakutkan beliau kerana telah menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan telah menggunakan budi bicaranya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa beliau (Najib).

Pada 22 Oktober, Najib memfailkan saman terhadap Tommy berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Beliau mendakwa, pada 2015, Tommy telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Januari 2022 untuk pengurusan kes. - Bernama