Dedah orang asli cara penyembelihan mengikut syarak

Masyarakat orang asli diberi peluang menyembelih ayam sendiri bagi memastikan mereka faham dan ilmu yang diberikan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Masyarakat orang asli diberi peluang menyembelih ayam sendiri bagi memastikan mereka faham dan ilmu yang diberikan dimanfaatkan sebaik mungkin.
A
A
A

GUA MUSANG – Program Kempen Kesedaran Halalan Toyyiban dan Kursus Sembelihan telah diadakan di Jajahan Kecil Lojing bagi memberi pendedahan dan ilmu mengenai penyembelihan dan hukumnya kepada masyarakat orang asli beragama Islam di kawasan berkenaan.

Pegawai Agama Jajahan Kecil Lojing, Zulkarnain Ismail berkata, ia merupakan kerjasama Seksyen Agama, Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing dengan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).

Menurutnya, program berkenaan penting kerana ia membantu memberi pendedahan tentang penyembelihan mengikut syarak dan hubung kait dengan kesihatan kepada jurusembelih dan masyarakat orang asli.

“Program ini berlangsung di Masjid Long Tan, Lojing dan dalam program ini, penduduk orang asli telah diberi penerangan berhubung dengan kaedah sembelihan menurut Islam oleh Pegawai dari Bahagian Pengurusan Halal Jaheaik dan Pihak Veterinar agar mereka mendapat gambaran yang lebih jelas berhubung dengan perkara berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, program yang dirasmikan oleh Pengarah Jaheaik, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh itu juga turut mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), pihak Muallim Jaheaik, Penggerak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihak Masjid Long Tan dan pelbagai agensi yang lain.

Beliau berkata, hampir 100 orang asli beragama Islam diberi peluang untuk mempraktikkan sendiri kaedah sembelihan mengikut cara Islam dengan menyembelih ayam hidup yang disediakan oleh penganjur sambil dipantau oleh urus setia yang bertugas.

“Program ini juga merupakan satu inisiatif bagi memperkenalkan dan menunjukkan keindahan ajaran Islam kepada masyarakat orang asli di jajahan kecil Lojing. Semoga ianya memberi manfaat berguna kepada mereka untuk masa akan datang, insya-ALLAH,” katanya.

Artikel Berkaitan: