Hibah TH akan diumumkan dalam masa terdekat:Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini berkata, bayaran hibah bagi tahun 2018 kepada pendeposit Tabung Haji (TH) akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, pengumuman tersebut akan dibuat oleh TH seperti kelaziman.

"Pengumuman hibah...(belum lagi) ia akan diumumkan oleh TH sedikit masa sahaja lagi," katanya selepas pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Sebelum ini TH mula melaksanakan pelan menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira yang mencatatkan defisit lebih RM4.1 bilion pada 2017 dan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari lepas bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Mujahid dipetik sebagai berkata, sejak 2014, TH telah gagal memenuhi dua syarat yang membolehkan pembayaran hibah dilakukan -- dua syarat itu adalah aset tidak boleh kurang daripada liabiliti dan perlu ada keuntungan yang boleh diagihkan.

Sementara itu, sebelum ini kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji kali pertama bagi musim ini meskipun berdepan cabaran kewangan.

Mujahid terdahulu memberi jaminan pengekalan subsidi jemaah berkenaan tidak akan menjejaskan pembayaran hibah.

Mujahid berkata, sehubungan itu bayaran bagi mengerjakan haji kali pertama bagi golongan jemaah itu masih kekal RM9,980 seorang.

Artikel Berkaitan: