Wanita hamil lima bulan redah banjir

Keadaan kawasan luar kediaman Ramli yang dipenuhi lumpur selepas dilanda banjir sejak Rabu lepas.
Keadaan kawasan luar kediaman Ramli yang dipenuhi lumpur selepas dilanda banjir sejak Rabu lepas.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang wanita hamil lima bulan nekad meredah banjir selepas kediamannya di Kampung Belt Parit 3, Chikus Langkap dinaiki air dalam kejadian banjir di sini Rabu lalu.

Noor Idayu Abd Rahman, 23, yang mengandung anak sulung berkata, dia bimbang paras air meningkat dan akan lebih menyukarkan pergerakannya.

Noor Idayu
Noor Idayu

Menurutnya, dalam kejadian jam 2.30 petang itu, paras air naik mendadak dan ketika itu hanya dia bersama ibu kurang upaya (OKU) lemah kaki berada di rumah sementara suaminya bekerja.

"Bila tengok paras air makin tinggi, saya cepat-cepat hubungi suami supaya balik ke rumah. Takut juga kalau-kalau keadaan banjir lebih teruk kerana arus sangat laju.

Keadaan paras Sungai Batang Padang di Kampung Degong naik akibat hujan lebat berterusan pada minggu ini ketika tinjauan dilakukan pada Jumaat.
Keadaan paras Sungai Batang Padang di Kampung Degong naik akibat hujan lebat berterusan pada minggu ini ketika tinjauan dilakukan pada Jumaat.

"Mujurlah suami segera sampai dan bersama ahli keluarga lain mereka bantu memindahkan mak dahulu sebelum memimpin saya keluar dari rumah dengan berjalan kaki.

"Takut memang takut tetapi saya beranikan diri dan alhamdulillah setakat ini tiada apa yang berlaku kepada saya dan bayi dalam kandungan," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Setakat Jumaat, seramai 63 mangsa daripada 20 keluarga masih ditempatkan di situ masing-masing dari Kampung Sungai Rambai, Kunci Air 12 Headwork, Kampung Tanjung Keramat, Kampung Sungai Kucing, Kampung Sungai Seluang, Kampung Matang Jambu Degong dan Parit 7 Chikus.

Banjir di daerah itu turut mengakibatkan 39 lagi mangsa banjir daripada 13 keluarga di Kampung Belt, Kampung Kunci Air 12, Parit 4, Parit 5, Parit 6 dan Parit 7 Chikus ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohd Ali Hassan, 54, berkata, banjir kali ini adalah yang kedua terburuk pada tahun ini hingga di sesetengah kawasan paras air mencecah 1.2 meter.

Mohd Ali
Mohd Ali

Katanya, hujan lebat berterusan sepanjang minggu ini menyebabkan berlaku limpahan air lumpur dari Sungai Batang Padang.

"Januari dulu kita dah hadap banjir paling teruk, kemudian pada Mac ada sekali lagi banjir tetapi keadaannya tidak begitu teruk.

"Kali ini situasinya membuatkan kami makin runsing, harap dalam masa terdekat ini cuaca kembali baik dan kami boleh pulang segera," katanya.

Ramli Sulaiman, 49, yang pulang meninjau keadaan rumah turut bersedih kerana banyak peralatan dan barangan rumah termasuk peti ais, perabot, pakaian dan tilam rosak kerana tidak sempat diselamatkan.

Ramli bersama anak lelakinya, Mohamad Aminuddin, 12, memulakan kerja-kerja pembersihan selepas banjir surut di kediaman mereka di Kampung Belt Parit 3, Chikus.
Ramli bersama anak lelakinya, Mohamad Aminuddin, 12, memulakan kerja-kerja pembersihan selepas banjir surut di kediaman mereka di Kampung Belt Parit 3, Chikus.

Menurut Ramli, ketika kejadian, dia bersama anak-anak hanya sempat menyelamatkan sebuah kereta dan tiga motosikal sebelum paras air naik mendadak mencecah satu meter.

"Keadaan ketika itu agak kelam kabut, banyak barang-barang tak sempat nak selamatkan," katanya.

Sementara itu, Talha Mohd Nawi, 43, berkata, kerja-kerja pembersihan rumah ketika ini tidak dapat dilakukan disebabkan masalah gangguan air.

Talha
Talha

Katanya, penduduk dimaklumkan ketiadaan air itu disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan berpunca dari masalah tangki.

"Kalau ikutkan banjir dah surut dan kami dah boleh balik ke rumah, tetapi air tak ada, rumah pula dalam keadaan berlumpur, kerja-kerja mencuci tak boleh dibuat lagi.

"Jadi buat sementara ini kena duduklah di pusat pemindahan dahulu," katanya.