Dua lelaki, seorang wanita disyaki edar ganja ditahan

No Image Caption
A
A
A

SUBANG JAYA - Dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat mengedar ganja ditahan dalam serbuan di sekitar Bandar Sunway di sini pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, dalam serbuan pertama ke atas sebuah kereta sekitar jam 8.30 malam, polis menahan seorang suspek lelaki dan wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20-an.

"Hasil pemeriksaan menjumpai satu ketulan mampat berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 940 gram di dalam bungkusan plastik yang dipegang salah seorang suspek.

"Hasil soal siasat, polis menjumpai dua ketulan mampat berisi dedaun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 210 gram di dalam sebuah bilik di rumah suspek di Bandar Sunway," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abd Khalid berkata, kira-kira jam 11.10 malam, pihaknya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an hasil serbuan ke atas sebuah kereta di tepi jalan di sekitar kawasan Bandar Sunway.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek menjumpai satu ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 1,000 gram diletakkan dalam sebuah kotak," katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas rumah suspek pihak polis menemui lima ketulan mampat berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 618 gram.

Menurutnya, hasil ujian awal ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati negatif dan semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Mahkamah Shah Alam membenarkan kesemua suspek direman sehingga 30 November ini (Selasa)," katanya.