Warga asing penuhi pekarangan Menara TJB, tak peduli SOP

Keadaan di hadapan Menara TJB yang dipenuhi warga asing pada setiap hari bekerja.
Keadaan di hadapan Menara TJB yang dipenuhi warga asing pada setiap hari bekerja.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pihak pengurusan Menara TJB memohon kerjasama agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu kumpulan pekerja warga asing yang kerap berkumpul di hadapan bangunan pejabat berkenaan.

Pengurusnya, Lee Choon Ming berkata, perkara itu berikutan pihaknya menerima pelbagai aduan khususnya daripada penyewa bangunan sendiri yang tidak selesa dengan kehadiran warga asing.

"Amat membimbangkan apabila kumpulan warga asing berkenaan dilihat langsung tidak peduli dengan isu semasa selain gagal mematuhi prosedur keselamatan terutama melibatkan langkah pencegahan Covid-19.

“Warga asing tersebut datang dari Pejabat Jabatan Imigresen di Wisma Persekutuan yang bersebelahan dengan menara ini untuk urusan permit kerja serta dokumen perjalanan mereka.

“Mereka akan ada di sini dari pagi pada setiap Ahad hingga Khamis untuk menunggu giliran memasuki Wisma Persekutuan. Cuma apa yang dibimbangkan kami ketika ini adalah mereka ini langsung tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya ketika ditemui semasa membuat aduan di Pejabat Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan di Jalan Maju di sini pada Jumaat.

Choon Ming berkata, berdasarkan aduan dan pemerhatian pihaknya, kira-kira 100 hingga 200 warga asing boleh dilihat di hadapan menara berkenaan pada setiap hari bekerja.

Artikel Berkaitan:

Choon Ming (kiri) dan Chee Boon menujukkan gambar dan laporan polis yang dibuat ketika ditemui pemberita di Pejabat Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan pada Jumaat
Choon Ming (kiri) dan Chee Boon menujukkan gambar dan laporan polis yang dibuat ketika ditemui pemberita di Pejabat Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan pada Jumaat

“Terdapat sebanyak 130 penyewa di bangunan ini dan rata-rata daripada mereka terdiri daripada syarikat profesional seperti pejabat hartanah, guaman dan perakaunan. Jadi, mereka memang berurusan dengan pelanggan setiap hari dan keadaan warga asing ini memang memberi keadaan yang tidak selesa.

“Kalau hujan pula, mereka seperti tidak bersalah memenuhi kawasan luar bangunan dan menyukarkan pelanggan untuk masuk. Belum dikira mereka berkumpul rapat malah ada yang tidak memakai pelitup muka,” katanya.

Beliau berkata, masalah itu antara faktor tandas bangunan tidak mudah dibuka kepada orang awam kerana ia lebih banyak digunakan warga asing berkenaan sehingga berlaku kerosakan.

“Mereka makan dan buang sampah merata-rata malah mereka juga gunakan tandas mandi dan buang air secara tidak betul. Diharap pihak terlibat membantu menyelesaikan perkara ini terutama pihak Imigresen kerana kesemua warga asing yang datang adalah kerana mempunyai urusan dengan mereka (pihak Imigresen),” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, pihaknya akan membantu dengan mengeluarkan surat dan berbincang dengan agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami akan hantar surat kepada semua pihak, kerana ini adalah isu yang berlarutan sejak tiga tahun lalu. Ini bukan masalah tidak kasihan dan penindasan tetapi tanggungjawab untuk bantu negara bebas daripada belenggu Covid-19.

“Ia menjadi masalah kerana warga asing ini tidak diketahui asalnya sama ada mereka sudah divaksin atau belum. Jadi, semua ini perlu diatasit,” katanya.