Kenaikan harga barangan asas mungkin sebab musim tengkujuh

Noraini (kanan) memberitahu harga sayuran dari tanah tinggi mengalami peningkatan harga sejak kebelakangan ini.
Noraini (kanan) memberitahu harga sayuran dari tanah tinggi mengalami peningkatan harga sejak kebelakangan ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Musim tengkujuh yang bermula sejak awal November lalu menyaksikan berlaku kenaikan harga melibatkan barangan basah di sekitar pasar-pasar utama di negeri ini.

Antara barangan yang sering mendapat perhatian ialah telur ayam, ayam, ikan dan sayur-sayuran yang kini dilihat memang lebih tinggi daripada pasaran biasa.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Siti Khatijah Kota Bharu mendapati rata-rata bahan makanan basah ini dijual dengan harga yang tinggi berbanding biasa berdasarkan kepada faktor musim tengkujuh dan bekalan berkurangan.

Seorang peniaga ayam, Sarimah Dollah, 52 memberitahu, dia menjual ayam dengan harga RM17 seekor dan purata sekilogram adalah RM8 hingga RM9.

Sarimah memberitahu harga ayam tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.
Sarimah memberitahu harga ayam tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.

“Memang beberapa bulan ini harga ayam meningkat, kami beli dengan pemborong pun dengan harga yang tinggi. Berniaga sekarang bukan untuk untung, tapi asalkan orang ramai dapat makan. Itu sudah memadai,” katanya.

Seorang peniaga ikan, Sulaimi Hassan, 40 memberitahu, harga ikan juga mengalami kenaikan antara RM1 hingga RM2 bagi setiap kilogram (kg) memandangkan nelayan kini tidak dapat turun ke laut.

Artikel Berkaitan:

Sulaimi cuba mengimbangkan harga belian dan jualan ikan bagi memastikan ia tidak membebankan orang ramai.
Sulaimi cuba mengimbangkan harga belian dan jualan ikan bagi memastikan ia tidak membebankan orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, bekalan ikan masih ada walaupun harga terpaksa dinaikkan mengikut peredaran cuaca semasa.

“Harga ikan ada yang naik sedikit, tapi masih terkawal. Contohnya ikan kerisi sebelum ini RM17 sekilo tapi sekarang RM18. Kita ambil dengan pemborong pun memang tinggi, tapi kita cuba untuk imbangkan supaya tidak mahal dan orang mampu beli,” ujarnya.

Bukan sahaja barangan basah, namun jualan sayur juga meningkat terutamanya sayuran daripada tanah tinggi Cameron Highland.

Seorang peniaga sayur, Noraini Mohd Yaman, 40 memberitahu, bunga kubis mengalami kenaikan hampir dua kali ganda iaitu dari RM7 sekilogram kini dijual dengan harga RM16 sekilogram.

“Kenaikan ini hanya melibatkan sayur-sayur dari tanah tinggi. Sayur lain harga masih stabil, saya pun tidak tahu kenapa kenaikan ini berlaku.

“Sayur brokoli pula dulu RM8 sekilogram, kini RM18 sekilogram. Kami peniaga pun buntu dengan kenaikan harga ini tapi kami tetap jual macam biasa demi keperluan orang ramai,” jelasnya.

Bahan asas makanan seperti santan masih lagi berada dalam harga terkawal iaitu RM8 sekilogram dan pertambahan hanya berlaku jika harga kelapa naik kepada RM2 sebiji.

Peniaga santan, Zahira Osman, 50 berkata, kelapa kini dijual dengan harga RM1.90 sebiji dan santan masih boleh dijual dengan dengan harga RM8 sekilogram.

Zahira (kiri) tidak akan menaikkan harga santan jika harga kelapa yang dibeli tidak berganjak.
Zahira (kiri) tidak akan menaikkan harga santan jika harga kelapa yang dibeli tidak berganjak.

“Jika harga kelapa naik, barulah kita kena naikkan sedikit harga jualan santan. Namun semuanya masih terkawal walaupun harga barangan lain naik,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan mengenai kenaikan harga telur ayam minggu lalu, namun tinjauan pada minggu ini menunjukkan harga jualan telur ayam hanya berkurang sedikit berbanding minggu sebelum ini.

Peniaga telur, Ahmad Wan lokman, 30 memberitahu, sebelum ini telur dibeli secara borong dengan harga RM12 sepapan, tapi kini RM11, bergantung kepada gred yang dijual.

“Kenaikan minggu lalu RM2, namun minggu ini turun kepada RM1. Bekalan ada cuma harga sahaja yang tidak seimbang. Mungkin disebabkan musim tengkujuh dan faktor-faktor lain,” katanya.

Walaupun harga beberapa barangan utama ini menyaksikan peningkatan dari biasa, namun perniagaan mereka tetap perlu diteruskan untuk membantu ekonomi negeri yang sedang pulih.

Seorang pembeli ketika ditemui di pasar berkenaan, Azni Zainal Abidin memberitahu, kenaikan berlaku mungkin disebabkan musim tengkujuh dan juga perkembangan ekonomi semasa.

“Apa yang saya perasan, kenaikan berlaku sejak kerajaan mula membuka aktiviti rentas negeri. Selepas itu masuk pula musim tengkujuh. Itu di Kelantan tetapi di negeri lain mungkin punca dan faktornya tidak sama,” katanya.