Kes Covid-19 rekod 5,501 hari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Selepas menyaksikan peningkatan melepasi angka 6,000 semalam, kes harian Covid-19 turun kepada 5,501 pada Jumaat.

Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan kes kumulatif Covid-19 di negara ini mencecah 2,614,480.

"Daripada jumlah itu, 5,476 kes melibatkan jangkitan tempatan dan 25 lagi kes import," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, 5,423 kes atau 98.6 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua manakala baki 78 kes atau 1.4 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.

Katanya, kes sembuh pula mencatatkan jumlah 6,664 menjadikan kumulatif pesakit yang pulih mencecah 2,516,693 orang.

Dr Noor Hisham juga berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 445 dengan 167 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Bagi perkembangan kluster, beliau berkata, tujuh kluster dikesan menjadikan 236 kluster masih aktif manakala nilai kebolehjangkitan (Rt) negara masih kekal 0.99.

Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada jam 12 tengah malam setiap hari. - Bernama

Artikel Berkaitan: